Clean Our Heart

Assalamualaikum dan salam bitara,





                                     


Pada 5 November dan 13 November 2016 yang lalu, KeFB telah menganjurkan program khidmat masyarakat di Kampu Baru Universiti Sultan Idris. Program berkenaan yang dikenali sebagai 'Clean Our Heart' merupakan satu program yang bertujuan untuk memberi pendedahan dan menerapkan sentimen mementingkan kebersihan diri sendiri dan alam sekitar. Pendekatan penjagaan kebersihan ini perlu untuk dititikberatkan dalam diri setiap individu berikutan ianya adalah aspek yang amat penting di dalam kehidupan. Bahkan di dalam hadis Rasulullah juga turut memperihalkan mengenai aspek kebersihan "Kebersihan adalah sebahagian daripada iman". Hal ini menunjukkan bahawa pentingnya kita sebagai insan yang menetap di bumi yang fana ini untuk sentiasa menjaga kebersihan untuk kepentingan semua pihak. 

Perkara ini turut menjadi ciri-ciri penting untuk menjadi seorang fasilitator yang cemerlang dari semua aspek. Hal ini demikian kerana, kebersihan adalah salah satu aspek penting untuk melahirkan individu yang bersahsiah unggul. Fasilitator yang unggul seharusnya mementingkan kebersihan, kekemasan dan kecantikan dalam usaha mendidik diri dan orang lain. Oleh itu, KeFB  terpanggil untuk menganjurkan satu program kemasyarakatan iaitu 'Clean Our Heart' yang bertujuan untuk mendedahkan kepentingan menjaga kebersihan dan peranan kita dalam mengekalkan aspek kebersihan di sekeliling kita. Program ini juga bertujuan untuk merapatkan ukhwah di antara ahli KeFB.  

Berikutan dengan itu, wajarlah dikatakan bahawa pelaksanaan program 'Clean Our Heart' merupakan titik mula bagi seorang fasilitator untuk menjadi seorang insan yang lebih baik dan mampu  untuk menjadi pemudah cara yang bersahsiah tinggi.  

Hari pertama (5 November)








Hari kedua (13 November)












"Bergerak Seiring Menyahut Cabaran"









Swa Diri

Assalamualaikum dan salam bitara. satu lagi program yang telah dilaksanakan oleh Kelab Fasilitator (KeFB) Pada 16 oktober 2016 iaitu hari Ahad, Kelab Fasilitator Bitara (KeFB) telah menganjurkan Program Swa Diri yang bertujuan membina jati diri seorang fasilitator supaya dapat memberi sumbangan terhadap kelab, menerapkan sikap positif dalam diri setiap peserta supaya menjalankan tugas dengan lebih efektif dan mengeratkan hubungan silaturahim antara ahli kelab. Pengisian program ialah Slot Pengenalan berkenaan KeFB oleh Presiden KeFB dan diteruskan dengan pengisian Slot Swa Diri oleh Penasihat KeFB, Cik Najidah Binti Yahaya. Beliau telah berkongsi mengenai tujuan pengambilan ahli-ahli baru serta mengklasifikasikan ciri-ciri fasilitator yang terbaik. Pelbagai input positif serta kritikan yang membina telah diterima oleh setiap ahli sepanjang aktiviti tersebut dijalankan. Seterusnya, aktiviti bersama MT Exco kelab pula dijalankan dengan sesi perkenalan diri yang melibatkan semua ahli yang hadir. Program berkenaan diakhiri dengan sesi fotografi pada jam 12.30 tengah hari. Diharapkan semua ahli yang terlibat secara langsung atau tidak langsung akan bersama-sama terus bergiat aktif dalam kelab ini serta mempereratkan ukhwah yang telah terjalin ini sehingga ke akhirnya.


Sesi pendaftaran bermula pada pukul 7.15 pagi

Slot ice breaking yang dikendalikan oleh saudari Nor Dia.



Slot yang dikendalikan oleh Penasihat kelab Cik Najidah Binti Yahaya.


aktiviti MT Exco bersama ahli..

Diharap input yang diperoleh pada hari tersebut akan membantu ahli mempersiapkan diri untuk menjadi seorang fasilitator yang bitara. manakala ukhwah yang dibina hari ini diharap akan terus menjadi pembina kepada hubungan yang erat pada masa akan datang 
# bergerak seiring menyahut cabaran
#keluarga_ungu



WE ARE ONE TEAM

Assalamualaikum dan salam Bitara. Pada hari Ahad, 9 Oktober 2016 yang lalu, Kelab Fasilitator Bitara UPSI (KeFB) telah berjaya melaksanakan Program We Are One Team yang disertai oleh MT dan Exco KeFB. Program ini telah dijalankan di Skytrex,Taman Botani Negara Shah Alam,Selangor. Alhamdulillah, semua kepimpinan tertinggi dalam KeFB siding 2016/2017 menyertai program ini dengan jayanya. Tujuan program ini adalah: 1) melatih pimpinan KeFB yang mampu harungi halangan dan cabaran pada masa akan datang 2) menguji ketahanan fizikal pimpinan KeFB sebagai langkah awal memikul tanggungjawab dan amanah yang telah diberikan. 3) memupuk semangat kerja berpasukan dan menguatkan jati diri dalam kalangan MT & Exco KeFB.



 Program ini berlangsung selama hampir 3 jam dan halangan yang perlu dilalui oleh peserta ialah:


 1.Ladder Up


2. Flying fox 
3. Sloppy Net Bridge, 
4. Fisherman Net 
5. Sloopy Net Bridge 
6. Cable Walk 
7. Monkey Bar 
8. Platform Jump 
9. Deep Bucket U Rope 
10. Floating Zig-Zag Pipe 

11. Sky Jet Ski 
12. Deep Bucket U Rope 
13. Small Bucket U Rope Ladder Up 
14. Cable Walk 
15. Three Cable Walk 
16. Hanging Pipe 
17. Mega Bridge 
18. Ladder Down 
19. Skip Pipe 
20. Sky Crawl 
21. Fisherman Net. 

 Terlalu banyak halangan yang kami lalui semasa di Skytrex tersebut. Kami melakukan aktiviti pada tahap yang paling mencabar iaitu “Extreme Adventure”. Namun, semua halangan telah berjaya kami lalui. Semangat kerjasama dalam pasukan terserlah di dalam program ini di mana kami semua saling membantu antara satu sama lain. Jika ada ahli antara kami yang patah semangat, kami sentiasa akan memberi dorongan dan semangat agar mereka tidak berputus asa.


"Walaupun halangan yang ada di Skytrex ini begitu sudah cukup mencabar, namun percayalah,.. di luar sana masih ada cabaran yang lebih besar yang akan kita tempuhi cuma kita tidak tahu sama ada bila ataupun dimana."

 Kami ke sini bukan hanya ingin bersuka ria atau meluangkan masa hujung minggu dengan beriadah, tetapi ingin menguji ketahanan fizikal kami sebagai langkah awal untuk memikul segala tanggungjawab dan amanah yang telah diberikan. Diharapkan dengan penganjuran program ini mampu memantapkan lagi kredibiliti pimpinan KeFB kini sebagai contoh tauladan kepada rakan exco dan ahli KeFB yang lain. Moga dengan penganjuran program ini mampu menyuntik semangat semua untuk terus meledak dalam kepimpinan organisasi.
 “BERGERAK SEIRING MENYAHUT CABARAN”. 

 

Kem Pemantapan Organisasi MT Exco Kelab Fasilitator Bitara

Assalamualaikum dan salam Bitara. Pada 2 dan 3 Oktober 2016, MT Exco Kelab Fasilitator Bitara (KeFB) telah mengadakan Kem Pemantapan Organisasi di Sungai Inki, Kalumpang. Kem yang berlangsung selama 2 hari 1 malam tersebut bertujuan sebagai pendedahan awal pemantapan diri bagi majlis tertinggi dan exco. Antara pengisian yang telah dijalankan ialah slot mengenal pasti kekuatan, kelemahan dan potensi diri sebagai pelengkap kepada kekuatan dan kelemahan orang lain. Turut diadakan slot 'Open Views' antara satu sama lain bagi menggalakkan budaya terbuka menerima pandangan orang lain selain dari menggalakkan perkongsian pengalaman diri masing-masing. Di akhir slot, telah diadakan perkongsian oleh 3 orang mantan pimpinan KeFB yang berkongsi berkenaan budaya kerja dan matlamat KeFB serta perkongsian pengalaman peribadi sepanjang berada di dalam KeFB.
Tiba sahaja kami di tapak perkhemahan, kami bersama-sama mendirikan khemah dan memastikan tapak perkhemahan selamat dan selesa.
Setelah selesai pekerjaan, kami menjamu selera dengan makanan yang dibawa dan ditambah dengan bekalan yang dibawa oleh penasihat. Alhamdulillah kenyang kami petang itu. Kata cik Najidah kami perlu bersedia dengan slot pada malam ini sebab itu kami perlu makan dahulu. Terima kasih cik atas bekalan yang diberikan.setelah selesai makan petang kami bersiap-siap untuk menunaikan solat maghrib dan solat isyak.
Slot pada malam ini bermula dengan mengenali kekuatan, kelemahan dan potensi diri sendiri. Cik Najidah telah melaksanakan ujian pengiraan tarikh lahir dan ujian warna untuk kami mendalami tiga aspek penting dalam diri sendiri dan sesama kami. Banyak ilmu baru yang kami perolehi daripada semua ujian ini. Seterusnya, Slot 'open view' antara satu sama lain bagi menggalakkan budaya terbuka menerima pandangan orang lain selain dari menggalakkan perkongsian pengalaman diri masing-masing. Hal ini telah membuka minda kami untuk melihat keistimewaan dan kekurangan individu dalam kalangan kami. Slot yang berakhir pada malam itu tidak terhenti pada malam itu. keesokannya ada sesuatu yang menanti kami.Pada paginya kami diwajibkan untuk turun ke dalam air selama satu jam. Terasa nikmatnya kekuasaan Tuhan yang menjadikan langit dan bumi. Air yang sejuk membuatkan tubuh mengigil tapi memberi kesegaran kepada tubuh dan minda.
Di akhir slot, telah diadakan perkongsian oleh 3 orang mantan pimpinan KeFB yang berkongsi berkenaan budaya kerja dan matlamat KeFB serta perkongsian pengalaman peribadi sepanjang berada di dalam KeFB.Moga dengan penganjuran kem ini mampu menyuntik semangat semua untuk terus meledak dalam kepimpinan organisasi.

Pengalaman Program Peningkatan Akademik UPSR Fasa-3 SKBJ

Assalamualaikum dan Salam Bitara J
Keluarga Ungu kembali lagi dengan Program Peningkatan Akademik UPSR SK Bt. Jong, Kuala Krai yang telah berlangsung selama 4 fasa.

Alhamdulillah, program tersebut telah berjalan dengan lancar walaupun terdapat beberapa kekangan namun Allah telah permudahkan segalanya.




Admin nak berkongsi dengan kalian tentang pengalaman admin menjadi fasilitator untuk fasa ke-3 bersama 4 orang fasilitator yang lain. Sebelum itu, terima kasih kepada semua pihak iaitu penasihat Kelab Fasilitator, Cik Najidah Yahaya, AJK-AJK yang terlibat, fasilitator yang turun padang dan pihak Global Peace Mission Malaysia bagi menjayakan hasrat murni ini.
Pada 14, 15 dan 16 Julai 2016 yang lepas, fasa 3 program tersebut telah berlangsung di Universiti Pendidikan Sultan Idris  dan sekitar Kuala Lumpur. Fasa kali ini lebih tertumpu untuk membuka mata pelajar tentang dunia luar.


1)      Antara pengisian yang pertama iaitu lawatan sekitar Kampus Sultan Abdul Jalil Shah (KSAJS) dan dibawa ke perpustakaan terulung kita iaitu Perpustakaan Tuanku Bainun UPSI yang sarat dengan kemudahan teknologi yang serba canggih. Pelajar-pelajar tersebut kelihatan sangat teruja dengan kemudahan tersebut dengan menggunakan hujung jari sahaja.






2)      Hari kedua, lawatan ke Muzium Negara, Planeterium Negara, Masjid Merah Jambu Putrajaya dan Kolej Darul Hikmah iaitu slot bersama Global Peace Mission Malaysia (GPM).






3)      Hari ketiga, persediaan sebelum mereka pulang ke Kuala Krai dan majlis penutup.



Diharapkan pelajar-pelajar SK Batu Jong dapat meningkatkan prestasi mereka dalam akademik. Dengan program yang telah berlangsung ini, harapanya dapat memberi sumbangan agar mereka bermotivasi untuk mencapai kejayaan dalam diri mereka dari segi akademik mahupun sahsiah. Semoga keputusan UPSR mereka yang bakal tiba tidak lama lagi akan membuahkan hasil yang positif. Amin. Sama-sama kita doakan untuk mereka.
Jumpa lagi di entry yang lain.
‘’ Nantikan kemunculan  KeFB”
‘’Bergerak Seiring Menyahut Cabaran”


Selamat Hari Raya Aidil Adha


Assalamualaikum dan selamat sejahtera.
Mintak maaf sebab entry kali ni lambat sikit di update
Namun masih belum terlambat lagi rasanya untuk kami dari Kelab Fasilitator Bitara untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Adha kepada seluruh umat Islam
Sempena Hari Raya Aidil Adha yang telah disambut pada tanggal 12 Sept 2016 bersamaan dengan
10 Zulhijjah 1437H ini, moleklah kiranya kita mengimbau kembali sejarah munculnya hari yang bermakna bagi umat Islam kini.

Kisah Nabi Ismail (Peristiwa korban yang pertama dalam sejarah Islam)

Sewaktu Nabi Ismail mencapai usia remajanya Nabi Ibrahim a.s. mendapat mimpi bahawa beliau harus menyembelih Ismail puteranya. Dan mimpi seorang nabi adalah salah satu dari cara-cara turunnya wahyu Allah , maka perintah yang diterimanya dalam mimpi itu harus dilaksanakan oleh Nabi Ibrahim. Beliau duduk sejurus termenung memikirkan ujian yang maha berat yang perlu dihadapi. Sebagai seorang ayah yang dikurniai seorang putera yang sejak puluhan tahun diharap-harapkan dan didambakan, seorang putera yang telah mencapai usia di mana jasa-jasanya sudah dapat dimanfaatkan oleh si ayah, seorang putera yang diharapkan menjadi pewarisnya dan penyambung kelangsungan keturunannya, tiba-tiba harus dijadikan korban dan harus diragut nyawa oleh tangan si ayah sendiri.

Namun, sebagai seorang Nabi, pesuruh Allah dan pembawa agama yang seharusnya menjadi contoh dan teladan bagi para pengikutnya dalam bertaat kepada Allah, menjalankan segala perintah-Nya dan menempatkan cintanya kepada Allah di atas cintanya kepada anak, isteri, harta benda dan lain-lain. Beliau harus melaksanakan perintah Allah yang diwahyukan melalui mimpinya, apa pun yang akan terjadi sebagai akibat pelaksanaan perintah itu.
Sungguh amat berat ujian yang dihadapi oleh Nabi Ibrahim, namun sesuai dengan firman Allah yang bermaksud:" Allah lebih mengetahui di mana dan kepada siapa Dia mengamanatkan risalahnya." Nabi Ibrahim tidak membuang masa lagi, berazam {niat} tetap akan menyembelih Nabi Ismail puteranya sebagai korban sesuai dengan perintah Allah yang telah diterimanya.Dan berangkatlah serta merta Nabi Ibrahim menuju ke Makkah untuk menemui dan menyampaikan kepada puteranya apa yang Allah perintahkan.

Nabi Ismail sebagai anak yang soleh yang sangat taat kepada Allah dan bakti kepada orang tuanya, ketika diberitahu oleh ayahnya maksud kedatangannya kali ini tanpa ragu-ragu dan berfikir panjang berkata kepada ayahnya:" Wahai ayahku! Laksanakanlah apa yang telah diperintahkan oleh Allah kepadamu. Engkau akan menemuiku insya-Allah sebagai seorang yang sabar dan patuh kepada perintah. Aku hanya meminta dalam melaksanakan perintah Allah itu , agar ayah mengikatku kuat-kuat supaya aku tidak banyak bergerak sehingga menyusahkan ayah, kedua agar menanggalkan pakaianku supaya tidak terkena darah yang akan menyebabkan berkurangnya pahalaku dan terharunya ibuku bila melihatnya, ketiga tajamkanlah parangmu dan percepatkanlah perlaksanaan penyembelihan agar meringankan penderitaan dan rasa pedihku, keempat dan yang terakhir sampaikanlah salamku kepada ibuku berikanlah kepadanya pakaian ku ini untuk menjadi penghiburnya dalam kesedihan dan tanda mata serta kenang-kenangan baginya dari putera tunggalnya."Kemudian dipeluknyalah Ismail dan dicium pipinya oleh Nabi Ibrahim seraya berkata:" Bahagialah aku mempunyai seorang putera yang taat kepada Allah, bakti kepada orang tua yang dengan ikhlas hati menyerahkan dirinya untuk melaksanakan perintah Allah."

Saat penyembelihan yang mengerikan telah tiba. Diikatlah kedua tangan dan kaki Ismail, dibaringkanlah ia di atas lantai, lalu diambillah parang tajam yang sudah tersedia dan sambil memegang parang di tangannya, kedua mata nabi Ibrahim yang tergenang air berpindah memandang dari wajah puteranya ke parang yang mengilap di tangannya, seakan-akan pada masa itu hati beliau menjadi tempat pertarungan antara perasaan seorang ayah di satu pihak dan kewajiban seorang rasul di satu pihak yang lain. Pada akhirnya dengan memejamkan matanya, parang diletakkan pada leher Nabi Ismail dan penyembelihan di lakukan. Akan tetapi, tanpa disangka-sangka parang yang sudah demikian tajamnya itu ternyata menjadi tumpul dileher Nabi Ismail dan tidak dapat berfungsi sebagaimana mestinya dan sebagaimana diharapkan.

Kejadian tersebut merupakan suatu mukjizat dari Allah yang menegaskan bahawa perintah pergorbanan Ismail itu hanya suatu ujian bagi Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail sampai sejauh mana cinta dan taat mereka kepada Allah. Ternyata keduanya telah lulus dalam ujian yang sangat berat itu. Nabi Ibrahim telah menunjukkan kesetiaan yang tulus dengan pergorbanan puteranya untuk berbakti melaksanakan perintah Allah sedangkan Nabi Ismail tidak sedikit pun ragu atau bimbang dalam memperagakan kebaktiannya kepada Allah dan kepada orang tuanya dengan menyerahkan jiwa raganya untuk dikorbankan, sampai-sampai terjadi seketika merasa bahawa parang itu tidak lut memotong lehernya, berkatalah ia kepada ayahnya:" Wahai ayahku! Rupa-rupanya engkau tidak sampai hati memotong leherku kerana melihat wajahku, cubalah telangkupkan aku dan laksanakanlah tugasmu tanpa melihat wajahku."Akan tetapi parang itu tetap tidak berdaya mengeluarkan setitik darah pun dari daging Ismail walau ia telah ditelangkupkan dan dicuba memotong lehernya dari belakang.

Dalam keadaan bingung dan sedih hati, karena gagal dalam usahanya menyembelih puteranya, datanglah kepada Nabi Ibrahim wahyu Allah dengan firmannya:" Wahai Ibrahim! Engkau telah berhasil melaksanakan mimpimu, demikianlah Kami akan membalas orang-orang yang berbuat kebajikkan ."Kemudian sebagai tebusan ganti nyawa Ismail telah diselamatkan itu, Allah memerintahkan Nabi Ibrahim menyembelih seekor kambing yang telah tersedia di sampingnya dan segera dipotong leher kambing itu oleh beliau dengan parang yang tumpul di leher puteranya Ismail itu. Dan inilah asal permulaan sunnah berkorban yang dilakukan oleh umat Islam pada tiap hari raya Aidiladha di seluruh pelosok dunia.

Begitulah kisah pengobanan dua insan yang mulia disisi Allah S.W.T. Pengorbanan yang telah kita laksanakan tidak akan mungkin mampu menandingi ketaatan dan kecintaan dua orang Nabi yang disanjung tinggi ini. Oleh itu, marilah lafazkan lafaz syukur di atas segala pemberian yang telah diberikan oleh Allah kepada kita iaitu umat Nabi Muhammad s.a.w. Alhamdulillah.

Marhaban Ya Ramadhan


Marhaban Ya Ramadhan

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera


Alhamdulillah dan bersyukur kita kepada Allah s.w.t kerana dengan izin-Nya kita telah diberikan peluang dan kesempatan untuk terus bernafas di bumi hijau Tuhan ini. Diam tak diam Ramadhan hampir tiba, tak terasa waktu berlalu ibarat air sungai yang mengalir laju. Seperti yang kita sedia tahu, bulan ini adalah bulan pengampunan dan rahmat serta dipermudahkan bagi sesiapa yang beramal padanya.

Sabda Rasulullah S.A.W


إِذَا دَخَلَ شَهْرُ رَمَضَانَ فُتِّحَتْ أَبْوَابُ السَّمَاءِ – وَفِيْ رِوَايَةٍ : أَبْوَابُ الْجَنَّةِ-وَفِيْ رِوَايَةٍ: أَبْوَابُ الرَّحْمَةِ وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ جَهَنَّمَ وَسُلْسِلَتْ الشَّيَاطِينُ

Apabila masuk bulan Ramadhan maka dibukakan pintu langit (dalam satu riwayat dikatakan: pintu syurga dan dalam riwayat lainnya: pintu-pintu rahmat). Ditutup pintu-pintu Jahanam dan para syaitan dibelenggu. (HR al-Bukhari dan Muslim).

Selain itu, dijelaskan juga dalam hadis riwayat Ibnu Majah yang berbunyi:

إِذَا كَانَتْ أَوَّلُ لَيْلَةٍ مِنْ رَمَضَانَ صُفِّدَتْ الشَّيَاطِينُ وَمَرَدَةُ الْجِنِّ وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ جَهَنَّمَ


Apabila masuk awal malam dari bulan Ramadhan maka para syaitan dan jin jahat dibelenggu serta ditutup pintu neraka Jahanam.


Demikian juga sabda beliau:


مَنْ قَامَ لَيْلَةَ الْقَدْرِ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ وَمَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ


Siapa yang menghidupkan malam qadar dalam keadaan iman dan mencari pahala maka Allah akan mengampuni dosanya yang telah lalu dan siapa yang berpuasa dalam keadaan iman dan mencari pahala maka Allah akan mengampuni dosanya yang telah lalu. (HR al-Bukhari).


Oleh yang demikian, kita jadikan bulan Ramadhan ini sebagai salah satu peluang untuk melihat keadaan diri kita, agar kita dapat memperbaiki yang telah rosak dan mengubati yang sakit.


Jadikan bulan ini sebagai awal menuju kebaikan untuk masa yang mendatang dan sebagai titik tolak perubahan menuju ke arah keadaan yang lebih baik dan sempurna. Seandainya setiap orang merenungi dirinya dan mengamati kehidupannya, tentulah dia akan dapat mewujudkan muhasabah melalui perilaku dalam dirinya.

Pertanyaan yang wajib disampaikan kepada diri kita adalah:

“Apakah kita reda dengan keadaan kita sekarang?”
“Adakah kita sudah berada dalam kesempurnaan?”
“Adakah kita sudah sedaya upaya dan berusaha untuk menjadi yang lebih baik dan terbaik di sisi Tuhan yang Maha Esa?”

Semua ini memerlukan muhasabah dalam diri. Inilah yang digalakkan dalam syariat islam seperti diungkapkan khalifah Umar bin al-Khattab dalam pernyataan beliau:

Muhasabahlah terhadap dirimu sebelum kamu dihisab dan timbang-timbanglah sebelum kamu ditimbang.”

Demikian juga ungkapan khalifah Ali bin Abi Talib:

Seseorang itu mestilah memiliki masa yang tidak disibukkan dengan kesibukan untuk muhasabah diri untuk melihat apa yang dilakukannya sama ada mendatangkan kebaikan dan keburukan.”

Sebenarnya muhasabah diri ini dapat membantu kita untuk mengetahui kesalahan dan titik kelemahan kita dan seterusnya dapat mendorong kita menjadi umat manusia yang lebih baik.

Sesungguhnya, tidak ada satu bulan yang dapat menandingi bulan Ramadhan. Ramadhan adalah bulan terbaik untuk melakukan muhasabah. Bayangkan dalam bulan yang mulia ini kita dilarang untuk makan dan minum serta syahwat lainnya yang biasa kita lakukan. Hal-hal ini tentunya dapat menumbuhkan kesedaran dan mendorong untuk sentiasa memperbaiki diri.

Demikian juga ibadah-ibadah yang ada pada bulan ini, seperti solat malam adalah kesempatan untuk mendekatkan diri kepada Allah, membaca al-Qur`an yang digalakkan dalam bulan ini juga akan membantu mewujudkan suasana kondusif untuk muhasabah diri. Perbanyakan berdoa dan ibadah pada bulan ini kerana kita belum pasti sama ada kita sempat bertemu dengannya kembali atau tidak. Mungkin saja kita tidak sempat untuk menghabiskannya.


Marilah kita gunakan peluang keemasan ini untuk mencapai kejayaan dunia dan akhirat. Semoga Ramadhan pada tahun ini lebih banyak amalan kita lakukan berbanding tahun sebelumnya. InshaAllah.


Jom kita hayati Harapan Ramadhan oleh Man Bai. Lagu favourite admin bila tiba Ramadhan. 




UPWARDS MANAGEMENT


Assalamualaikum & Salam Semanis Kurma,

Sahabat sekalian..anda sudah bersedia dalam pengurusan dalam budaya kerja? Jangan takut dan jangan gentar. Setelah adanya program Upward Management yang telah berlangsung pada 13 Mac yang lalu, nampaknya, para peserta menerima input yang berguna agar program yang akan dijalankan pada masa akan datang berjalan dengan lancar dan sebaiknya.
Tekun admin bagi talk ;)

Untuk makluman rakan-rakan sekalian, program ini telah menyentuh beberapa aspek. Antaranya ialah:

1) Protokol Surat Rasmi
2) Penulisan Kertas Kerja
3) Urusan Penajaan
4) Laporan Program
5) Prosedur Tempahan Pengangkutan
6) Prosedur P.O
7) Prosedur Tempahan tempat & peralatan di UPSI.


Adik-adik, abang-abang dan warga UPSI sekalian, kami dari Kelab Fasilitator Bitara sentiasa menerima dengan tangan yang terbuka sekiranya sahabat-sahabat ingin meminta tunjuk ajar atau perkongsian dsb.

✔ Melihat ke atas memperoleh semangat untuk maju.
✔ Melihat ke bawah bersyukur atas semua yang ada.
✔ Melihat ke sisi semangat kebersamaan.
✔ Melihat ke belakang sebagai pengalaman berharga.
✔ Melihat ke dalam untuk muhasabah diri.
✔ Melihat ke depan untuk jalan lebih baik
✔ Dari kegagalan kita belajar keberhasilan..
✔ Dari kekalahan kita belajar kemenangan..
✔ Dari kejujuran kita belajar kejayaan..
✔ INILAH KEHIDUPAN..
Fokus itu penting!

Sekian untuk kali ini, moga kita berjumpa di lain masa! ;)

Cinta manusia mudah disia-siakan, Cinta pada ilmu beroleh manfaat.


KASIH BERTAUT KEMBALI

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Mohon maghfirahMu Ya Allah,
Bertasbih bertahmid memohon keampunan,
Indah jalinan sebuah ukhuwah,
Penyatuan dijadikan sebagai ingatan.

Pada 19 Mac yang lalu, Kelab Fasilitator Bitara (KeFB), telah menjalankan satu program iaitu "Kasih bertaut kembali". Program ‘Kasih Bertaut Kembali’ merupakan program yang bertujuan untuk mengalu-alukan kedatangan ahli Kelab Fasilitator Bitara ke Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) selepas berakhirnya cuti semester. Program ini juga dijalankan khusus untuk meraikan kedatangan semua ahli Kelab Fasilitator Bitara yang sekarang ini berada di semester 8 yang baru sahaja menghabiskan praktikum pada semester sebelumnya.

Tujuan utama program ini dijalankan adalah untuk:
  • Mengukuhkan ikatan persaudaraan dan silaturrahim yang erat dalam kalangan ahli-ahli KeFB.
  • Mewujudkan keseimbangan dari segi intelek, rohani, emosi, jasmani dan sosial (JERIS).

Antara aktiviti yang dijalankan adalah 'ice breaking' dan 'kotak beracun'. Aktiviti ini dijalankan secara santai dan bersahaja. Aktiviti yang dijalankan ini adalah salah satu sesi perkenalan secara tidak formal antara ahli-ahli KeFB yang baru mahupun yang lama. Program ini juga perlu dilaksanakan untuk melahirkan perkongsian pengalaman, idea dan pendapat sewaktu aktiviti dijalankan dalam kalangan ahli-ahli KeFB.
   
Diharapkan program seperti ini akan diteruskan untuk membentuk jati diri yang utuh dalam mengharungi pelbagai liku kehidupan. Selain itu, dapat memupuk sifat kerjasama, berdaya saing serta semangat berpasukan tanpa mengira perbezaan latar belakang dan sosiobudaya. Di samping itu, dapat mengeratkan ikatan silaturrahim antara ahli baru dan lama.


'Kasih Bertaut Kembali' yang jauh kita dekatkan, yang dekat kita eratkan.

Sesi pendaftaran para peserta.

'

Sesi ice breaking, lukisan kampung kita. Berbakat juga Timbalan Presiden kita ye..hee

Sedikit perkongsian daripada mantan Kelab Fasilitator Bitara.

Sesi LDK yang dikendalikan oleh fasilitator bersama para peserta.

Slot aktiviti 'Kotak beracun'. Dia yang kena!

Wajah-wajah mantan Kelab Fasilitator Bitara yang banyak berkongsi ilmu.

Sesi fotografi untuk dijadikan kenang-kenangan.

Wajah di sebalik kejayaan program "Kasih Bertaut Kembali"

Perasmian oleh Cik Najidah binti Yahaya, Penasihat Kelab Fasilitator Bitara (KeFB)