Bengkel Penghasilan Kertas Kerja dan Modul

Assalamualaikum dan salam bitara.





Apa khabar anda semua? Diharapkan semuanya sihat-sihat belaka dan sentiasa dilimpahi rahmat dari Allah yang Maha Esa. Untuk makluman semua, pada 16 April 2017 yang lalu, Kelab Fasilitator Bitara telah menganjurkan satu program iaitu Bengkel Penghasilan Kertas Kerja dan Modul. Bengkel ini diadakan dengan tujuan untuk memberi pendedahan dan penambahan ilmu mengenai penghasilan atau penulisan kertas kerja dan modul. Pendedahan mengenai aspek ini amat penting untuk dipraktikkan berikutan ianya merupakan medium yang penting dalam pelaksanaan sesuatu program. Penganjuran program ini telah dijalankan dengan jayanya oleh Saudari Nik Nuraini binti Nik Asli selaku pengarah program dan dibantu oleh AJK Pelaksana yang lain. Para peserta telah mula datang seawal jam 8.00 pagi. Sebelum bengkel bermula satu aktiviti tekah dilakukan untuk menaikkan semangat peserta yang hadir iaitu ‘energizer’. Aktiviti ini telah dikendalikan oleh Saudara Muhammad Shukran yang merupakan Exco Latihan Dalam Kumpulan (LDK) KeFB. Peserta juga diberikan sarapan sebelum bengkel bermula.     

Tepat pada jam 9.00 pagi bengkel bermula dengan kehadiran penceramah yang merupakan penasihat Kelab Fasilitator Bitara Upsi iaitu Cik Najidah binti Yahaya. Pada peringkat awal, Cik Najidah telah meminta para peserta untuk menghasilkan kertas kerja berdasarkan pengetahuan diri sendiri. Setelah itu, draf kertas kerja berkenaan diberikan penilaian oleh Cik Najidah. Ujian berkenaan dijalankan untuk mengenal pasti tahap pengetahuan para peserta mengenai format kertas kerja yang terkini dan sebenar. Sejurus selepas penilaian dibuat, penceramah memulakan sesi pembelajaran dengan tertib dan bermaklumat.

Setelah itu, program diteruskan lagi dengan bengkel penghasilan modul. Seorang peserta diminta untuk melaksanakan modul yang bertemakan bebas. Saudara Arif Azmi telah menawarkan diri untuk mengendalikan modul berkenaan. Rentetan itu, peserta yang lain perlu menghasilkan penulisan modul berdasarkan aktiviti atau modul yang telah dilaksanakan oleh saudara Arif. Hal ini bertujuan untuk menilai sejauh mana tahap kefahaman dan pengetahuan para peserta mengenai cara penulisan dan pemilihan perkataan yang sesuai digunakan di dalam sesuatu penulisan modul. Penilaian dilakukan oleh penceramah sejurus selepas peserta selesai menghasilkan penulisan modul. Cik Najidah menerangkan mengenai kepentingan pemilihan perkataan yang sesuai dan ayat yang boleh digunakan dalam sesuatu modul. Bagi menghasilkan penulisan modul yang baik, para fasilitator itu sendiri perlu memahami konsep atau perjalan modul yang akan dilaksanakan. Seandainya fasilitator sendiri tidak memahami modul berkenaan, maka objektif modul berkenaan tidak akan dapat digarap dan dipraktikkan dengan baik.


Semoga segala intipati dan ilmu yang diterima di dalam Bengkel Penghasilan Kertas Kerja dan Modul ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh semua para peserta yang hadir untuk kegunaan pada masa-masa yang akan datang. Bengkel telah berakhir pada jam 2.00 petang dan disusuli dengan majlis penutup dan sesi fotografi. 

                                 

                                       Koleksi Gambar                                                 

                                                           Sesi  Energizer



                                                           Sesi ceramah


                                                    Penulisan Kertas Kerja



                                                               Peserta




Sesi Fotografi


No comments:

Post a Comment