ANTARA CINTA DAN CITA-CITA


Kita sering melihat kebiasaan yang membimbangkan apabila cinta dan cita-cita tidak dapat difahami dengan baik oleh setiap lapisan masyarakat.  Cinta sentiasa diletakkan pada tempat yang salah, manakala cita-cita tulen pula hanyalah sampingan yang tidak diperlukan dalam mentaliti masyarakat kini.
Definisi Cinta
Cinta merupakan sebuah perasaan semulajadi yang  Allah S.W.T. telah tetapkan  dalam setiap jiwa mahkluk bernyawa iaitu dalam kalangan manusia, jin, binatang dan tumbuh-tumbuhan . Cinta ialah  perasaan jiwa seperti kegembiraan, kebahagiaan, ketenangan dan pengharapan kepada sesuatu. Cinta juga bermakna keinginan, tarikan dan keterikatan dengan sesuatu.
Apabila seseorang bercinta maka akan terpancarlah tanda-tanda cinta pada dirinya, segala pemikiran, tumpuan dan tingkah laku akan cenderung kepada yang dicintai, hati akan sentiasa mengarah kepadanya, wajah sentiasa tersenyum dek kerana melihat dan mendengar pertuturannya manakala perlakuan pula akan berubah elok bila berhadapan dengan yang dicintai.
Allah S.W.T. mengisi hati manusia dengan cinta, maka cinta itu boleh  menerima perubahan ke beberapa jenis dan ketegori kerana ia mengikut sifat hati yang sentiasa berubah.
Jenis – Jenis Cinta
Cinta Hina :
                 Cinta yang bahagia itu boleh menjadi hina apabila cinta itu ditujukan kepada Makhluk bagi melepaskan nafsu yang memendam di dalam jiwa tanpa sebarang persetujuan Allah dan Rasulnya. Cinta jenis ini boleh membawa manusia ke ladang maksiat dan kebinasaan di akhirat kelak, bahkan kes-kes jenayah juga akan meningkat, bilangan remaja yang terjebak akibat  akan mengandung tanpa ikatan yang sah, bahkan anak yang dikandung itu mungkin saja akan dibunuh mahupun dibuang, kes rompakan akan berleluasa didalam setiap peringkat umur dan situasi pekerjaan, penyelewengan harta dan pangkat pula amat membimbangkan.              
Malangnya, cinta jenis ini sudah tersebar luas  dalam kalangan masyarakat umumnya khusunya  umat Islam.  Sedangkan cinta jenis ini hanyalah cinta tipuan dan bayangan, ianya akan hilang pada masa dan waktu yang telah ditetapkan Allah SWT.
Cinta Main-main :
                Cinta jenis ini pula adalah sebuah jenis cinta yang tidak punya matlamat dan perancangan.   Si pecinta hanya bercinta kerana trend semasa yang mendesak.  Apabila si pecinta melihat ramai rakannya mempunyai pasangan, maka dia juga ingin demikian, bila si pecinta melihat orang memakai pakaian yang mahal dan berjenama, maka dia juga ingin sedemikian, bercinta kerana orang lain. Ini bukanlah sebuah cinta yang suci dan sejati malahan cinta jenis ini lansung tiada nilai dalam agama Islam. 
Malangnya cinta jenis ini sentiasa digabungkan dengan cinta hina akibat kejahilan dan pendeknya pemikiran masyarakat dunia kini, cinta ini juga dikenali sebagai cinta monyet, cinta kontrak dan cinta kolej.
Cinta Mulia :
                 Allah SWT mencipta cinta adalah untuk ianya menjadi mulia dan disanjungi. Maka cinta sorang hamba kepada Tuhannya, cinta umat kepada Rasulnya, cinta si anak kepada ibu bapanya, cinta muslim kepada ummahnya, cinta suami kepada isterinya merupakan cinta yang diiktiraf oleh Allah dan Rasulnya, bahkan cinta jenis ini amat membahgiakan. Si pecinta akan merasa kemanisan percintaan dalam kehidupannya, sama ada di dunia mahupun di akhirat kelak. Setiap jiwa yang mempunyai cinta jenis ini akan sentiasa bangun membela agamanya, mempertahankan Kalam Tuhannya , membenteng sunnah Rasulnya dan  akhirnya akan membentuk sebuah Generasi Musim Berkualiti.
Malangnya, cinta jenis ini terlalu sedikit pada masa kini, manusia tidak lagi berahi dengan nikmat syurga yang menanti si pecinta. Inilah cinta yang dilupakan dan dilemparkan jauh dari kehidupan manusia
Bagaimana pula dengan cita – cita ?
                                         
Cita-cita merupakan sebuah matlamat dan impian yang ingin dicapai oleh seseorang bagi memuaskan kehidupannya. Fitrah cita-cita menagih 1000 kepayahan dan pengorbanan . Cita-cita muslim adalah untuk mendapatkan redha Tuhannya, menjadi hamba yang taat dan berjaya kembali ke taman asalnya yakni Firdausi..
Kesimpulannya, cinta dan cita-cita muslim mempunyai kaitan yang amat rapat. Cinta mulia dan suci murni berlandaskan kehendak Allah dan Rasul-Nya pasti mendapat kurnia dari Allah SWT, Sang Pencipta Cinta. Bila cinta mulia berjaya dicapai dan digenggam kejap, maka cita-cita kembali ke syurga bersama redha Allah swt akan menjadi kenyataan, bukan lagi fantasi.
Allah berfirman bermaksud :
Katakanlah (Wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
(Ali Imran : 31)

*Sumber : Syihabudin Ahmad

Exco Latihan dan Pembangunan Sahsiah, Kelab Fasilitator Bitara.

1 comment: