PROGRAM LESTARI ALAM


"Kecemerlangan akademik lahir daripada otak yang cerdas dan tubuh badan yang sihat".  Oleh yang demikian, Bukit Broga, Semenyih, Selangor telah dipilih oleh saudari Ana Syahida binti Teridi selaku Exco Akademik, KeFB  untuk memberi pendedahan kepada mahasiswa tentang aktiviti yang bersifat sukarelawan dan pendakian. Di samping mendaki, ahli-ahli kelab secara suka rela perlu mengutip sampah-sarap di sekeliling kawasan pendakian bagi menjaga alam sekitar. Sebagai seorang fasilitator yang unggul juga, sikap tolong-menolong antara satu sama lain perlu diterapkan dan ahli-ahli kelab perlu bijak menyesuaikan diri dalam pelbagai situasi. 

 Peserta tiba di perkarangan parkir Bukit Broga


Bersenam dahulu bagi mengelakkan sebarang kekejangan

          Tepat jam 2.00 pagi, para peserta memulakan perjalanan.Perjalanan peserta yang lancar sebelumnya ,namun terhenti seketika kerana laluan yang gelap menyukarkan ketua untuk mengenal pasti jalan yang dilalui. Pendakian yang jauh dan ada sesetengah tempat yang curam menyebabkan para peserta terpaksa berehat beberapa kali. Akhirnya, pada jam 3.20 pagi, para peserta sampai ke puncak yang pertama.

             Setibanya di puncak, para peserta berehat sebentar sebelum meneruskan dengan sesi refleksi. Dalam slot ini para peserta dipilih secara rawak untuk memberikan refleksi masing-masing. Secara kesimpulan, setiap peserta menyatakan bahawa aktiviti ini dapat memupuk semangat setia kawan, kerjasama, mengeratkan ukhuwah dan menguji ketahanan mental dan fizikal seseorang.
Sesi refleksi dijalankan di puncak yang pertama
     Setelah hampir setengah jam berehat, para peserta meneruskan pendakian ke puncak yang kedua. Di puncak yang kedua, para peserta melepaskan penat masing-masing dan berehat. Pada jam 5.30 pagi semua peserta membuat persiapan untuk solat subuh secara berjemaah. Selepas solat, Slot seterusnya, pengisian mengenai sifat cinta kepada alam sekitar dan kesyukuran terhadap nikmat yang diberikan oleh tuhan disampaikan oleh saudara Muhammad Hafiz dalam kuliah subuh.
Para peserta menunaikan solat subuh berjemaah 

     Di puncak Broga, suara-suara dari para pendaki lain memecahkan kesunyian. Dalam masa beberapa minit sahaja, puncak tersebut dipenuhi oleh para pendaki. Selesai solat, para peserta mengemas barang masing-masing. Sesi bergambar diambil sebagai kenangan. Lebih kurang jam 7.15 pagi, reaksi para peserta teruja apabila melihat matahari terbit. Pada jam 7.30 pagi, para peserta meneruskan pendakian semula. Para peserta dilihat lebih bersemangat untuk meneruskan perjalanan mungkin disebabkan selepas berehat dan masih teruja melihat keadaan sekeliling yang diselaputi dengan kabus yang tebal. 
Bergambar kenangan sebelum menunggu matahari terbit

Para peserta meneruskan pendakian untuk ke puncak yang seterusnya


          Setelah hanya beberapa minit, para peserta tiba di kaki bukit puncak yang pertama. Melihat kepada ketinggian dan kesukaran laluan untuk ke puncak yang pertama, terdapat beberapa peserta yang tidak meneruskan perjalanan dan hanya berehat di kaki bukit puncak tersebut. Namun, sebilangan yang lain tetap meneruskan perjalanan ke puncak yang pertama. Di sana, misi pertama iaitu  aktiviti mengutip sampah dilakukan. Setiap peserta bergotong-royong mengutip sampah-sarap yang bersepah. Sesi bergambar juga tidak dilepaskan oleh setiap peserta. 

 Sebahagian daripada peserta yang sampai ke puncak Bukit Broga

Para peserta bergambar bersama bungkusan sampah sarap yang telah mereka kutip 

           Jam 8.30 pagi, para peserta bertolak turun ke bawah sambil mengutip sampah. Setibanya di puncak yang pertama, para peserta berjumpa dengan penasihat KeFB Cik Najidah Binti Yahaya. Slot diteruskan dengan sesi refleksi bersama penasihat. Setelah itu, para peserta meneruskan perjalanan untuk turun ke bawah. Walaupun terdapat beberapa peserta yang  mengalami kecederaan seperti kekejangan otot, pening dan sebagainya, akhirnya, pada jam 10.00 pagi para peserta tiba di bawah dengan selamat.
 Sebahagian daripada para peserta bergambar ketika hendak menuruni bukit

Sesi bergambar bersama Penasihat KeFB, Cik Najidah Binti Yahaya 
di puncak pertama Bukit Broga

Walaupun keletihan, namun pengalaman yang ada membuatkan setiap peserta lebih cekal dan ukhuwah yang terbina juga lebih erat. Perjalanan menuju ke UPSI berjalan dengan lancar dan para peserta tiba di Bitarasiswa pada jam 1.30 petang. Program diakhiri dengan sesi penyampaian hadiah daripada pengarah program.


Pengarah program menyampaikan hadiah kepada ketua kumpulan 

No comments:

Post a Comment