RAMADHAN AL-MUBARAK

Assalamualaikum w.b.t & salam sejahtera….

Rasanya masih belum terlewat untuk admin ucapkan Salam Ramadhan Al-Mubarak kepada semua, meskipun hari ini sudah 12 Ramadhan.

Alhamdulillah, segala kesyukuran dipanjatkan kepada Ilahi kerana dengan izin-Nya, kita masih dipertemukan dengan Ramadhan, bulan barakah, bulan keberkatan, bulan ketaqwaan, bulan ibadah serta bulan kemuliaan. Bagi admin, Ramadhan tahun ini sedikit berbeza dengan tahun-tahun yang lepas. Terasa meriahnya Ramadhan dengan mesej-mesej peringatan di laman Facebook, Twitter, tak kurang juga di blog yang admin ‘follow’. 

credit to iluvislam.com

seterusnya, sedikit perkongsian dari laman web langitilahi.com


*********



Ramadhan- Bulan Kerehatan

Kerehatan yang dimaksudkan disini bukanlah kerehatan yang sering kita gambarkan. Berehat tanpa melakukan apa-apa atau bercuti ke mana-mana destinasi. Tetapi kerehatan di sini adalah kerehatan rohani (jiwa) mengabdikan sepenuhnya pada ILahi daripada kesesakan dunia.

Bagi manusia biasa mereka menganggap ramadhan sebagai bulan puasa. Tiada yang istimewa. Sekadar berputar masa lalu pergi begitu sahaja. Berlainan pula bagi pencinta ibadah mengambil ia sebagai peluang untuk  mereka mempertingkatkan amalan.

Pengabdian diri pada Allah, arah keluar dari masalah
Manusia sering kali resah. Acapkali gundah. Banyak masalah-masalah yang bertimbunan yang perlu diselesaikan. Bagai jatuh ditimpa tangga. Namun bagi orang yang beriman, ia bukan suatu kesusahan bahkan ianya peluang mendekati diri pada Rabbnya. Bahkan merasa senantiasa bahawa Allah itu dekat malah lebih dekat daripada yang lain untuk mendengar doanya.

Oleh itu, bersempena Ramadhan yang mulia, Allah membuka peluang itu seluas-luasnya bagi mendekatkan diri hamba pada tuannya. Di siang hari berpuasa, di malam hari pula disunatkan untuk bersolat tarawikh. 

Seperti hadis Baginda S.A.W yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah berkata:

“Rasulullah S.A.W ingin melaksanakan qiam dalam bulan Ramadhan tanpa memerintahkannya kepada mereka (para sahabat) secara wajib. Baginda bersabda: ‘Barangsiapa melakukan qiyam ramadhan kerana iman dan mengharapkan pahala maka diampunkan untuknya apa yang telah berlalu dari dosanya”. (riwayat Muslim)

Asal dari makna tarawikh itu adalah kerehatan . Setelah berhempas pulas melaksanakan ibadah puasa, maka tiba waktu malam untuk merehatkan diri dan juga hati dari kesibukan dunia dengan mengabdikan diri kepada-Nya. Inilah kerehatan sebenar di dunia. Adapun kerehatan yang kekal abadi hanyalah di alam barzakh sana bila tiba masanya kerana hakikat seorang hamba tidak pernah selesai dalam melakukan kerja-kerja untuk menegakkan deen-Nya.

Sunat vs Wajib
Tarawikh atau berehat dinamakan kerana setiap kali selepas empat rakaat akan berhenti rehat sementara. Tetapi perlaksanaannya adalah dua rakaat beserta salam hingga tamat bilangan rakaat. 

Selain itu, dinamakan tarawikh juga bermaksud berulang-ulang dalam perbuatan tersebut. Dari sudut waktu melaksanakannya ialah selepas fardu isya’ hinggalah terbit fajar. Tambahan, menurut Dr Wahbah Zuhaili dalam  kitab al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu menyatakan makruh tarawikh diselangi dengan solat sunat yang lain melainkan tawaf sunat.

Walaupun ibadah tarawikh hanyalah sunat, tetapi ia amat dituntut (muakkad) kerana tarawikhlah yang membezakan ia dengan bulan-bulan islam yang lain di mana manusia boleh melakukannya mengikut keselesaan masing-masing sama ada untuk melaksanakannya sebanyak lapan rakaat ataupun dua puluh rakaat. 

Sudut  perlaksanaannya pula kita amat dituntut untuk berjemaah meskipun ia ditetapkan pada zaman saidina Umar namun ia mempunyai asal di mana Nabi juga turut melaksanakan secara berjemaah. Namun akibat khuatir ia difardukan jadi nabi hanya melaksanakannya hanya beberapa kali berdasarkan maksud hadis yang diriwayat oleh Al-Bukhari oleh saidatina Aisyah. Bagaimanapun , jika dilaksanakan bersendirian tetap sah dan tidak menjadi masalah.

Dari sudut yang lain, nilai pahala sudah tentu ibadah wajib mendahului. Namun segalanya pada Allah juga untuk menilai kesempurnaan segala ibadah. Namun dari sudut martabat ketinggian seseorang itu di sisi Allah, ibadah sunat mendapat tempat. Hal ini kerana manusia dapat melaksanakan yang wajib atas sebab arahan namun untuk perkara yang sunat ia merupakan pilihan. Sebagai contoh manusia boleh berpuasa ramadhan kerana diwajibkan tetapi berapa ramai yang mampu puasa sunat pada hari lain tanpa arahan. Jadi adakah relevan jika  malam-malam kita berlalu pergi tanpa diisi?

Hati-Hati
Kelebihan tarawikh yang jelas adalah seperti hadis di atas iaitu pengampunan. Tambahan lagi, sifat Allah (ghaa faa raa) biasa diterjemahkan ke dalam bahasa melayu dengan maksud pengampunan. Namun, sifat ini lebih dari itu iaitu Allah menutup aib-aib kita di hadapan manusia lain. Bayangkan jika Allah buka setiap aib kita, nescaya tiada seorangpun dari kita yang mampu berjalan di atas muka bumi ini. Justeru, dalam keghairahan kita mempelajari tentang ibadah ini perlu diketahui bahawa terdapat hadis palsu mengenainya. 

Sebagai contoh kononnya diriwayatkan oleh Saidina Ali r.a:

•          Malam Pertama: Keluar dosa-dosa mukmin pada malam pertama seperti mana dia baru dilahirkan (mendapat keampunan dari Allah Taala).

•          Malam Keempat: mendapat pahala sebagaimana pahala orang-orang yang membaca kitab Taurat, Zabur, Injil dan Al-Quran.

•          Malam Keenam:  Allah kurniakan pahala kepadanya pahala malaikat-malaikat yang tawaf di Baitul-Ma’mur (sebanyak 70 ribu malaikat sekali tawaf), serta setiap batu-batu dan tanah akan mendoakan supaya Allah mengampuni dosa-dosa orang  yang mengerjakan sembahyang tarawikh pada malam ini.

•          Malam Ketujuh: Seolah-olah dia dapat bertemu serta menolong Nabi Musa A.S. menentang musuh ketatnya Firaun dan Haman.

•          Malam Kelapan:  Allah mengurniakan pahala orang sembahyang tarawih seperti mana yang telah dikurniakan kepada Nabi Ibrahim A.S.
•          Malam Kesembilan:  Allah kurniakan pahala dan dinaikkan mutu ibadat hambanya seperti Nabi Muhammad saw.

•          Dan kelebihan-kelebihan seterusnya sehingga sampai kemalam yang ke tiga puluh….

Ibadat atau Adat?
Kebiasaan pada permulaan malam ramadhan, kebanyakan masjid atau surau dibanjiri dengan lautan manusia. Namun bila tiba dipenghujung ramai yang alpa dek kesibukan bersedia untuk berhari raya. 

Sepatutnya bila tiba dipengakhiran harus kita lebih berlumba-lumba membuat pahala bukan sahaja kerana madrasah ramadhan akan pergi meninggalkan kita bahkan malam yang lebih baik dari seribu bulan juga dijanjikan pada ketika itu.

Oleh itu, marilah sama-sama kita mengekalkan atau lebih baik kita meningkatkan momentum keimanan kita dengan menggandakan ibadah kita dari hari ke hari hingga ramadhan melabuhkan tirainya.

**********
Semoga kita dapat mengambil manfaat daripada petikan di atas...Semoga Ramadhan kali ini lebih baik dari tahun lepas serta semoga segala amalan kita diterima oleh Allah S.W.T...Insya-Allah..


PROGRAM KETAHANAN DIRI DI MRSM KUALA KUBU BARU

     Kelab Fasilitator Bitara UPSI telah mendapat tawaran daripada pihak Maktab Rendah Sains Mara Kuala Kubu Baru untuk menjalankan satu program yang bertemakan ketahanan diri dan motivasi. Hal ini merupakan permulaan yang baik bagi kelab ini kerana diberi kepercayaan untuk mengadakan program di MRSM. Pihak sekolah memaklumkan bahawa kami diminta untuk memberi suntikan motivasi kepada pelajar Tingkatan Tiga yang bakal menduduki Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) pada tahun ini.

   Seramai 10 orang fasilitator telah terlibat sepanjang program motivasi ketahanan diri ini. Program ini berjalan selama 2 hari 1 malam, iaitu pada 22 Jun-23 Jun 2012. Pelbagai aktiviti dan modul telah dirangka agar bersesuaian dengan kehendak pihak sekolah. Kerjasama antara kami dan pihak sekolah amat memuaskan dan kata sepakat telah dibuat untuk memilih aktiviti yang akan dijalankan.

     Antara aktiviti sepanjang program dijalankan adalah seperti ice-breaking,amazing race,buta pedoman,slot motivasi,mengayam mimpi dan cikguku sayang. Sepanjang program dijalankan, para pelajar memberikan respon dan komitmen yang amat memberangsangkan kepada kami. Hal ini memudahkan kami untuk mendekati para pelajar.

     Penasihat kelab, Cik Najidah turut terlibat dalam program ini. Beliau telah memberi serba sedikit motivasi kepada para pelajar pada hari kedua program. Selain itu, terdapat ahli kelab ini sendiri berpeluang menjadi motivator kepada para pelajar dalam slot muhasabah diri, iaitu saudara Mohd Raziman Abd Rahman. Hal ini merupakan platform kepada ahli kelab untuk mencuba menceburkan diri ke bidang motivator.

   Akhir kata, kami mempelajari ilmu baru sepanjang mengendalikan program ini. Kami berharap agar, ada pihak yang sudi untuk menjemput kami mengadakan program-program seperti ini lagi.


MESYUARAT AGUNG TAHUNAN SESI 2011/2012 DAN MALAM SUKMA MENGGAMIT MEMORI

     Dalam sesebuah kepimpinan, sebuah organisasi sangat penting untuk memastikan sistem pentadbiran berjalan dengan lancar dan berkesan. Oleh itu, Program Malam Eksklusif Fasilitator Bitara ini diadakan bertujuan untuk melantik barisan ahli jawatan kuasa baru yang bakal menerajui tampuk kepimpinan bagi meneruskan perjuangan dalam Kelab Fasilitator ini. Seseorang pemimpin perlu mempunyai semangat juang yang tinggi dan mampu mendorong orang lain ke arah yang lebih baik. Selain itu, keyakinan dan kepercayaan serta tanggungjawab dalam menjalankan amanah turut memainkan peranan penting bagi seseorang ketua untuk menyumbang bakti dalam sesebuah organisasi pentadbiran. Jadi, Kelab Fasilitator Bitara ini mampu menjadi medan dan tapak untuk semua ahli kelab mencari ilmu dan pengalaman serta merebut peluang yang ada bagi melahirkan pemimpin yang berkebolehan serta kreatif dan inovatif.
    Di samping itu, majlis yang akan berlangsung ini bertujuan untuk merai dan menghargai jasa serta sumbangan ikhlas barisan Majlis Tertinggi dan Exco Kelab sesi 2011/2012 yang selama ini telah banyak menyumbang keringat dari segi masa dan tenaga sepanjang mereka memegang tampuk kepimpinan. Mereka sememangnya perlu diberikan pengiktirafan dan penghargaan kerana telah banyak bertanggungjawab dan bertungkus-lumus menyumbang bakti, idea dan memberi komitmen yang tinggi dalam memastikan setiap program yang dirancang dapat dilaksanakan dengan berkesan dan mencapai matlamat khususnya kepada Penasihat Kelab, Majlis Tertinggi, barisan Exco serta semua ahli kelab yang terlibat. Selain itu, melalui majlis Malam Eksklusif Fasilitator Bitara ini juga ukhwah silaturahim antara Penasihat, Majlis Tertinggi, barisan Exco, Rexco dan ahli-ahli kelab dapat dieratkan dengan lebih utuh.
   Kesemua aktiviti tahunan yang telah dijalankan dan dilaksanakan sepanjang sesi 2011/2012 telah dibentangkan dalam mesyuarat. Pembentangan aktiviti tahunan telah disampaikan oleh saudari Shabirah Bt. Ali selaku naib setiausaha KeFB sesi 2011/2012. Selesai pembentangan aktiviti tahunan KeFB, agenda diteruskan lagi dengan pembentangan kewangan KeFB sesi 2011/2012. Pembentangan kewangan KeFB telah disampaikan oleh Nor Atiqah Binti Mohammad Ali, iaitu Bendahari KeFB sesi 2011/2012.
     Selesai pembentangan laporan aktiviti tahunan dan laporan kewangan, mesyuarat diteruskan dengan ucapan daripada mantan Presiden KeFB saudari An Nur Farhah Amanina Bt Yasin. Beliau telah menyentuh beberapa perkara penting sebagai peringatan dan rujukan kepada deligasi pimpinan baru KeFB. Seterusnya, Cik Najidah Yahaya telah membubarkan pimpinan Majlis Tertinggi dan Exco KeFB sesi 2011/2012 dan mengumumkan pimpinan baru Majlis Tertinggi dan Exco KeFB sesi 2012/2013 yang dipengerusikan oleh saudara Mohd Raziman B. Abd Rahman.
     Cik Najidah juga telah menyampaikan sijil pelantikan kepada pimpinan baru serta sijil penghargaan kepada mantan Majlis Tertinggi dan Exco KeFB sesi 2011/2012. Selepas tamat Mesyuarat Agung Tahunan KeFB, majlis diteruskan dengan program Malam Eksklusif ‘Sukma Rindu Menggamit Memori’.Majlis diteruskan dengan penyampaian hadiah dan cenderahati kepada MT dan Ecxo terbaik, Rexco terbaik, ahli KeFB terbaik dan juga modul kumpulan terbaik.











MAJLIS PENUTUPAN PROGRAM EKSKLUSIF SEKOLAH BITARA II

6 Mei 2012 - Majlis Penutupan Program Eksklusif Sekolah Bitara, PESB II telah dijalankan bagi menandakan berakhirnya PESB II yang dijalankan bermula 13 April hingga 30 April 2012 di 16 buah sekolah di sekitar Perak dan Selangor. Majlis tersebut dijalankan di Bilik Konvensyen, Bangunan B.E-learning UPSI. Timbalan Naib Canselor Akademik & Antarabangsa, Prof. Dr. Omar Bin Abdull Kareem telah dijemput sebagai perasmi utama majlis tersebut. Manakala Pengetua-pengetua sekolah bitara dijemput bagi menyerikan majlis serta penghargaan kepada pihak sekolah.
  Sebelum majlis bermula, barisan VIP dihidangkan dengan senaman rasmi KeFB yang baru diperkenalkan. Selepas ucapan aluan dari pengacara majlis, TNC A&A menyampaikan beberapa amanat penting untuk KeFB seterusnya merasmikan majlis tersebut. Manakala Pengarah Program induk PESB II merangkap Presiden KeFB, An Nur Farhah Amanina membentang laporan sepanjang berlangsungnya gerak kerja serta program di sekolah. Kemudian majlis diteruskan lagi dengan penyampaian cenderahati kepada TNC A&A, Pengetua-pengetua sekolah bitara dan Penasihat Kelab. Majlis tersebut berjalan dengan lancar.







CARTA ORGANISASI MAJLIS TERTINGGI & EXCO SESI 2012/2013



Patah tumbuh hilang berganti,
warisan yang lama terus disanjungi,
dengan niat mencipta evolusi, 
demi mencapai hasrat yang murni.

Setelah pembubaran Majlis Tertinggi dan Exco sesi 2011/2012 dan diperkenankan oleh Penasihat Kelab Fasilitator Bitara, Universiti Pendidikan Sultan Idris iaitu Cik Najidah Bt. Yahaya, maka dengan ini telah terbentuk  sebuah lagi pimpinan baru yang diketuai oleh Saudara Raziman Bin Abdul Rahman selaku Presiden bagi menyambung warisan yang ditinggalkan oleh Saudari An Nur Farhah Amanina. Diharapkan delegasi pimpinan kali ini dapat meneruskan kewibawaan serta kejayaan yang telah terukir  bagi merealisasikan misi dan visi universiti ke arah melahirkan bakal pendidik yang bitara.

PROGRAM EKSKLUSIF SEKOLAH BITARA II

Pada bulan April 2012, Program Eksklusif Sekolah bItara II telah diadakan dengan melibatkan 16 buah sekolah sekitar negeri Perak dan Selangor. KeFB juga mendapat tawaran daripada pihak sekolah lain, iaitu   SMK Sultan Badlishah di Kedah. Pelbagai tema yang dibawa ahli kelab ke sekolah-sekolah Bitara seperti tema kepimpinan, motivasi, persediaan peperiksaan dan disiplin pelajar.
  Ahli kelab telah dibahagikan kepada 16 buah kumpulan untuk menjalankan program ini. Kami telah membuat persiapan awal sebelum ke sekolah dengan mengadakan TOT dan perjumpaan berkala. hal ini demikian bagi memanstikan program berjalan dengan lancar. pengarah program setiap sekolah turut membuat pemantauan berkala dengan pihak sekolah masing-masing untuk memastikan tiada masalah yang berlaku antara pihak kelab dan pihak sekolah.
  Setiap kumpulan mempunyai pelajar sasaran dan tema yang berbeza-beza bergantung pada kehendak sekolah tersebut. pelbagai modul telah direka dan disesuaikan dengan tema dan sasaran pelajar. Penasihat kelab, Cik Najidah turut membantu kami mengenalpasti modul yang sesuai untuk di bawa ke sekolah. melalui program ini, kami dapat mempelajari pelbagai ilmu baru dan belajar berani untuk menyahut cabaran. respon daripada pelajar di setiap sekolah turut memberi semangat kepada kami untuk mengadakan program seperti ini lagi.