Indahnya Husnuzon


Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera…
“Ish, kenapa lambat respon ni? Penat orang tunggu.”
“Kenapa kau tak siapkan bahagian kau? Kita kan dah bahagi tugas masing-masing. Menyusahkan betul.”
“Hah! Kau kat mana ni, lambatnya. Kalau kau tak sampai dalam masa 5 minit, aku tinggal je kau ni.”
Pernah tak kita dengar ayat-ayat sebegini? Cuba ingat kembali di mana kita dengar perkataan-perkataan ini. Atau mungkin ini yang selalu kita lontarkan? Atau mungkin terdetik dalam hati kita? Jom scan diri!

Masa kita membuat tugasan atau mungkin berorganisasi, mungkin tanpa kita sedari ini yang terdetik di hati kita. Merungut-rungut bila ada ahli kumpulan yang tidak melakukan kerja. Kala marah menguasai diri, kita menjadi buta dalam menilai. Buta mata, buta hati, terbejat akal.

Kita tak tahu apa kesusahan mereka. Mungkin yang lambat respon kehabisan kredit dan tak ada duit nak top-up. Maklum la dah separuh semester. Mungkin duit PTPTN digunakan untuk membantu keluarga dan duitnya hanya cukup untuk makan sahaja. Mungkin juga dia tak siapkan tugasan yang diberikan kerana dia sakit sehingga tidak terdaya untuk bangun.

Mungkin juga tugasan itu telah dilakukan tetapi laptopnya rosak. Mungkin juga dia lambat kerana dia menolong orang kemalangan atau mungkin dia ditimpa kemalangan. Mungkin juga dia bangun lambat kerana tidur lambat untuk menyiapkan tugasan. Mungkin juga dia mengalami masalah sukar untuk tidur.
Kita tidak tahu apa masalah orang lain selagi kita tidak berada dalam situasi dia. Bila kita berada dalam situasi sebegini kita ingin orang lain memahami masalah kita tetapi hakikatnya kita sendiri tidak memahami masalah yang dialami orang lain. Kita mula membuat andaian dan spekulasi yang entah betul atau tidak.

Jadi, apa kata kita ubah persepsi diri kita. Mulalah untuk bersangka baik dengan orang lain. Fikir perkara yang positif tentang orang lain kerana jangan kerana satu kesalahan yang dia lakukan kita buta untuk melihat seratus kebaikan yang telah dia lakukan. Sudah pasti bila kita mula bersangka baik, hati kita akan menjadi lebih tenang, gembira dan bahagia.

No comments:

Post a Comment