“Jadilah Benih Yang Bernas”
Memetik ucapan Almarhum Hj. Abdullah Mohamad, aktivis masyarakat pantai timur pada akhir 1940-an:
Jadilah benih yang bernas,
Seribu tahun dijemur panas,
Digetus digetas binatang buas,
Tetap tumbuh mencetus tunas.
Cuba kita fikir dan kita renungkan bersama, apa beza benih yang elok dengan yang tidak elok?
Benih yang elok, walau dicampak atau di tanam dengan apa cara sekalipun ia akan membawa satu hasil yang luar biasa berbeza dengan benih yang tidak elok. Andai dijaga, disiram dan dibaja tetapi ia tetap kekal begitu seandainya mengeluarkan hasilpun belum tentu elok hasilnya.
Maka kita disuruh untuk menjadi seorang yang hebat dengan potensi yang ada pada diri kita. Janganlah terlalu mengharap atau bergantung kepada sesuatu pihak sehingga kita malas untuk berusaha. Jangan menjadi pelajar yang terlalu bergantung kepada guru, masyarakat yang terlalu bergantung kepada kerajaan, dan pekerja yang terlalu bergantung kepada bos kerana mereka adalah antara contoh yang kerap dibincangkan dalam masyarakat kita sehingga menimbulkan satu persepsi buruk terhadap diri masyarakat kita sendiri.
Sebagai seorang fasilitator maka potensi diri amat penting. Potensi diri kita adalah hak kita, jangan sia-siakan bakat yang ada. Tidak dinafikan bahawa orang akan memberi kita peluang untuk kita membaiki diri, tetapi sejauh mana kita cuba untuk mendapatkan dan memanfaatkan peluang itu untuk membina potensi kita?
Ingatlah pokok yang tumbuh melata di hutan rimba tidak menanti manusia untuk menyiramnya. Tetapi mereka bersaing untuk mendapatkan air, zat, galian dan lain-lain dari tanah serta cahaya mentari yang menyinari mereka untuk terus hidup.
“Jadilah benih yang baik, dicampak ke laut menjadi pulau, dicampak ke darat menjadi rimba.”
Pilihan ditangan anda, selami hati, kuasai jiwa, anda penentu segala.
Saya memilih untuk menjadi benih yang bernas, anda bagaimana?
No comments:
Post a Comment