DELEGASI ILMU PENGIKAT UKHWAH

Pada 25 NOV 2012, telah diadakan satu program delegasi kerjasama antara Kelab Fasilitator Bitara UPSI dan juga Student Facilitating Front UIAM. Delegasi Ilmu Pengikat Ukhwah ini diadakan untuk menjalinkan kerjasama dengan Kelab fasilitator di universiti lain. Dalam pada itu, ianya juga melibatkan kerjasama daripada pelbagai aspek seperti perkongsian ilmu dan kemahiran bagi menghasilkan produk pemimpin berkualiti. Kerjasama yang diadakan ini diharap dapat mewujudkan satu hubungan bukan sahaja di antara KeFB UPSI dengan STUFF UIAM malahan menjadi satu platform untuk UPSI membina tapak bagi menjalinkan hubungan baik dengan universiti lain serta membawa kembali nama UPSI sebagai satu institusi yang mampu melahirkan pemimpin dan penggerak yang berkualiti. Teruskan bersama kami.









ADAB BERBUAL


Sesungguhnya Islam agama yang indah. Setiap perkara mempunyai adab dan aturannya yang tersendiri. Semuanya diajarkan Nabi SAW sehinggalah sekecil-kecil perkara seperti masuk dan keluar tandas.
Pernah terjadi beberapa orang Musyrikin mengejek Salman al-Farisyi r.a., kata mereka,
"Nabi kamu mengajarkan semua benda sehingga perkara berkaitan istinjak. Kata Salman, "Memang benar! Nabi kami menegah daripada membuang air besar atau kecil dalam keadaan menghadap kiblat, beristinjak menggunakan tangan kanan, beristinjak kurang daripada tiga biji batu." (Hadis Riwayat Muslim)
Antara adab yang selalu dipandang ringan oleh umat Islam adalah adab bersembang. Apakah perbualan atau cara kita bersembang setiap hari menepati tuntutan Islam?
1. Suara yang rendah dan lembut.
Menurut Syeikh Abdul Fatah Abu Ghuddah, meninggikan suara terhadap seseorang itu menunjukkan kurangnya hormat kita kepada mereka. Seeloknya kita bercakap dengan kadar yang sederhana, sebagaimana yang kita inginkan apabila mendengar daripada seseorang.
Adab ini perlu diamalkan sama ada ketika bersama sahabat mahupun musuh, orang yang dikenali mahupun tidak, orang kecil mahupun dewasa. Lebih- lebih lagi ketika bersama kedua-dua orang tua dan orang yang setaraf dengan mereka.
Menurut Abdullah bin Zubair r.a., selepas turunnya ayat ke-2 surah al-Hujurat iaitu "Wahai orang-orang yang beriman, jangan kamu meninggikan suara kamu melebihi suara Nabi".  Sayidina Umar r.a. terus berubah sikapnya. Sekiranya bercakap dengan Nabi, dia akan bercakap seperti orang berbisik-bisik sehingga terpaksa disuruh ulang beberapa kali kerana tidak dapat difahami .
Imam Zahabi menyebut, "Jikalau orang tidak mengenali siapa Muhammad bin Sirin (ulama Tabi'in), mereka akan menyangka dia seorang yang sakit kerana terlalu rendah suaranya apabila bercakap dengan ibunya." Lihatlah, betapa beradabnya golongan salaf dalam berkata-kata.
2. Tidak menunjuk pandai.
Antara adab bersembang juga, kita tidak memalukan sahabat kita dengan menzahirkan kepada mereka apa yang kita ketahui sedangkan mereka tidak memahaminya. Sabda nabi SAW,
"Berbicaralah kepada manusia menurut kadar kemampuan akal mereka."
(Hadis Riwayat Muslim)
Contohnya jikalau kita seorang pakar ekonomi dan berhadapan dengan seorang petani kampung, elakkan bercakap tentang kerja kita yang jauh di luar bidang mereka serta sukar difahami dengan mudah. Sebaik-baiknya, tunjukkanlah perhatian kepada mereka dan lebihkan mendengar daripada berkata-kata.
Seorang Tabi'in yang terkenal iaitu Imam Ata' bin Abi Rabah berkata, "Seorang pemuda menceritakan kepadaku sebuah kisah. Aku mendengarnya dengan teliti seolah-olah aku tidak pernah mendengarnya sebelum ini. Sebenarnya aku telah mendengar kisahnya itu sebelum dia dilahirkan lagi."
Khalid bin Safwan berkata, "Jikalau seseorang bercerita dan aku telah mendengarnya sebelum ini, atau perkara itu telah kuketahui, aku tidak akan menyampuknya. Aku bimbang dia akan menyedari yang aku telah mengetahuinya."
Begitulah cara ulama-ulama menjaga pergaulan mereka. Mereka tidak meringan-ringankan kata-kata seseorang walaupun perkara tersebut sudah diketahui.
3. Biarkan mereka menghabiskan ucapan.
Sekiranya kita musykil tentang sesuatu yang diperkatakan, hendaklah bersabar sehingga seseorang menghabiskan ucapannya. Kemudian, soallah dengan adab dan berhemah. Jangan memotong di tengah-tengah percakapan. Ia akan menghilangkan adab serta menimbulkan rasa tidak senang orang yang sedang bercakap. Melainkan ketika dalam kelas pengajian, kita boleh bertanya dan berbincang sekiranya guru mengizinkan.
Menurut Ibrahim bin al-Junaid, "Belajarlah cara mendengar yang baik sepertimana kamu belajar cara bercakap yang baik. Antara ciri pendengar yang baik juga adalah membiarkan seseorang menghabiskan kata-katanya, bercakap menghadap tubuhnya dan bertentangan wajahnya serta tidak menyampuk sekiranya dia membicarakan sesuatu yang sudah kamu ketahui."
Nabi SAW apabila diseru seseorang, Baginda tidak sekadar memalingkan muka bahkan menghadapkan seluruh tubuhnya kepada orang tersebut. Inilah bukti keindahan pekerti Rasulullah SAW.
Sama-samalah kita mengamalkan adab yang indah ini. Walaupun nampak ringan dan kecil, pasti ada kelebihan pada setiap amalan yang dianjurkan ulama-ulama Islam. Kata pepatah Arab, "Jangan kamu memandang ringan benda yang kecil, sesungguhnya gunung itu terhasil daripada debu-debu yang halus."
Rujukan: Kitab Min Adabil Islam, Syeikh Abdul Fatah Abu Ghuddah



BENGKEL PENGURUSAN ORGANISASI DAN PROTOKOL




Pada tanggal 15 November 2012,telah diadakan satu Bengkel Protokol dan Organisasi anjuran Kelab Fasilitator Bitara bersama Majlis Belia Felda Malaysia cawangan Besout 4 bertempat di Felda Besout 4,Perak. Perkongsian ilmu ini diadakan bertujuan untuk mendedahkan tentang peranan jawatankuasa didalam sesuatu organisasi serta protokol didalam sesuatu majlis. Teruskan bersama kami.













IMAGINASI

Mengapa Imaginasi Penting untuk Anak-Anak ?
Sebelum kita pergi kepada topik, jom kita bertenang sekejap. Kemudian toleh sekeliling, berapa banyak alatan yang kita miliki tetapi tidak pernah pun kita terfikir akan ciptaan dan rekaannya sebelum ini? Banyak juga kan? Kita beli ia sebab kita minat dengan reka bentuk dan keunikkannya ataupun disebabkan fungsinya. Tokoh saintis terkemuka dunia pernah berkata:

"Imigination is more important than knowledge"- Albert Eistein
Tengok sahajalah telefon bimbit kita, dahulunya hanya boleh guna untk menelefon dan sms tetapi sekarang artikel ini pun boleh dibaca melaluinya. Tidak keterlaluan dikatakan, tanpa imaginasi mungkin tiada benda baru bakal tercipta. Keupayaan 'mencipta' adalah fitrah yang dianugerahkan oleh Allah kepada kita. Tetapi ia mestilah bermula dengan imaginasi.

Adakah imaginasi membantu kejayaan anak-anak?

jawapannya YA. Menurut kata dari Dorothy Singer; penulis buku The House of Make Believe: Children's Play and the Developing Imagination, majoriti anak-anak yang secara aktif menggunakan imaginasi akan lebih mudah untuk bergaul dan bekerjasama dengan rakan yang lain, cepat dalam menyelesaikan masalah (problem-solving) dan ternyata lebih kreatif.
Jika diimbau kembali zaman dahulu, permainan seperti police and thief, nenek si bongkok 3  merupakan antara permainan yang memerlukan kemahiran imaginasi yang cukup digemari. Kita berupaya untuk berfantasi seolah-olah menjadi seorang polis yang menyelesaikan masalah masyarakat-ala-ala super hero gitu   .  Cukup menyeronokkan!
Bezanya kini, anak-anak terlalu dimuatkan dengan gajet elektronik yang dimuat turun pelbagai permainan bagi mengasah imaginasi mereka, begitulah pendapat sesetengah ibubapa. Ia tidaklah salah sepenuhnya, ada pro dan kontra bagi setiapnya. Keterbatasan dalam permainan elektronik ini secara tak langsung menyumbang kepada permasalahan untuk anak-anak bersosial bersama rakan sebaya di sekolah kelak.
Fikirkan sejenak:  Berapa peratus ilmu yang  kita pelajari digunakan dalam sektor  pekerjaan selepas tamat pengajian. Mungkin hanya 30 peratus sahaja. Selebihnya adalah kemahiran komunikasi, kepimpinan, kerjasama dan sikap tanggungjawab.

Bagaimana imaginasi dapat membantu meningkatkan kecerdasan IQ anak-anak ?

Perkayaan penggunaan bahasa- Bercerita dan mendengar penceritaan daripada rakan yang lain akan menambah kosa kata anak-anak dan mereka berpeluang untuk mempelajari perkataan baru sebanyak mungkin.
Pemikir yang kreatif – Apabila imaginasi mereka digunakan sebaik yang mungkin di waktu kecil, kelak mereka akan membesar menjadi seorang dewasa yang kreatif serta bertanggungjawab dalam menyelesaikan masalah dan bijak mencipta dan membuat innovasi dengan pemikiran ‘di luar kotak’.Kurang mendapat tekanan- Mereka yang bijak berfantasi akan cuba keluar daripada tekanan dengan mengawal setiap permasalahan di dalam minda mereka. Mereka bijak mengalihkan situasi ke arah suasana yang lebih menenangkan.

Apa yang boleh anda lakukan?
Otak kiri akan berfikir secara logik manakala otak kanan akan proses maklumat secara kreatif. Maka, imbangi penggunanaan otak kiri dan kanan anak anda dari peringkat awal lagi. Ibubapa digalakkan bermain aktiviti berbentuk fizikal dan fantasi bersama-sama anak di rumah. Permainan seperti sock-puppets , doll ataupunlego antara permainan yang bagus melatih kemahiran imaginasi anak. Setelah selesai bermain, pastikan anda kemas barangan mainan bersama mereka.Secara tidak langsung ia membantu memupuk sikap tanggungjawab.
Jika anda memiliki sedikit kebolehan melukis, ajak mereka melukis bersama. Lukislah pokok, kucing ataupun rumah nenek. Ia sangat membantu merangsangkan memori mereka dalam bentuk gambaran. Kemahiran ini memudahkan mereka  mengingati apa yang dipelajari di sekolah kelak. Misalannya mengingati huruf ‘d’ dan ‘b’, yang mana kedua huruf ini hampir sama. Selain itu, aktiviti kelas seperti playgroup antara salah satu medium pembelajaran yang memfokuskan penggunaan imaginasi anak-anak secara optimum. Kelas ini direka untuk anak 2 tahun ke 5 tahun sahaja.
Di dalam kelas ini terdapat segmen  Creative Play dan Arts & Crafts merupakan platfrom terbaik bagi mengasah bakat dan imaginasi anak anda. Selain itu, ia menyediakan ruang dan masa yang berkualiti untuk anda dan anak. Lupakan seketika ungkapan ‘Anak saya tak reti lukis”  atau “Anak saya tak penah pun pegang gunakan gam”; kerana di kelas ini bukanlah kesempurnaan dan cantik yang dimahukan tetapi peluang dan lahihan. Berikan mereka peluang dan ruang untuk buktikan.

JADILAH BENIH YANG BERNAS........... (,")


“Jadilah Benih Yang Bernas”
Memetik ucapan Almarhum Hj. Abdullah Mohamad, aktivis masyarakat pantai timur pada akhir 1940-an:

Jadilah benih yang bernas,
Seribu tahun dijemur panas,
Digetus digetas binatang buas,
Tetap tumbuh mencetus tunas.

Cuba kita fikir dan kita renungkan bersama, apa beza benih yang elok dengan yang tidak elok?

Benih yang elok, walau dicampak atau di tanam dengan apa cara sekalipun ia akan membawa satu hasil yang luar biasa berbeza dengan benih yang tidak elok. Andai dijaga, disiram dan dibaja tetapi ia tetap kekal begitu seandainya mengeluarkan hasilpun belum tentu elok hasilnya.
Maka kita disuruh untuk menjadi seorang yang hebat dengan potensi yang ada pada diri kita. Janganlah terlalu mengharap atau bergantung kepada sesuatu pihak sehingga kita malas untuk berusaha. Jangan menjadi pelajar yang terlalu bergantung kepada guru, masyarakat yang terlalu bergantung kepada kerajaan, dan pekerja yang terlalu bergantung kepada bos kerana mereka adalah antara contoh yang kerap dibincangkan dalam masyarakat kita sehingga menimbulkan satu persepsi buruk terhadap diri masyarakat kita sendiri.
Sebagai seorang fasilitator maka potensi diri amat penting. Potensi diri kita adalah hak kita, jangan sia-siakan bakat yang ada. Tidak dinafikan bahawa orang akan memberi kita peluang untuk kita membaiki diri, tetapi sejauh mana kita cuba untuk mendapatkan dan memanfaatkan peluang itu untuk membina potensi kita?
Ingatlah pokok yang tumbuh melata di hutan rimba tidak menanti manusia untuk menyiramnya. Tetapi mereka bersaing untuk mendapatkan air, zat, galian dan lain-lain dari tanah serta cahaya mentari yang menyinari mereka untuk terus hidup.
“Jadilah benih yang baik, dicampak ke laut menjadi pulau, dicampak ke darat menjadi rimba.”
Pilihan ditangan anda, selami hati, kuasai jiwa, anda penentu segala.
Saya memilih untuk menjadi benih yang bernas, anda bagaimana?