Pengalaman Program Peningkatan Akademik UPSR Fasa-3 SKBJ

Assalamualaikum dan Salam Bitara J
Keluarga Ungu kembali lagi dengan Program Peningkatan Akademik UPSR SK Bt. Jong, Kuala Krai yang telah berlangsung selama 4 fasa.

Alhamdulillah, program tersebut telah berjalan dengan lancar walaupun terdapat beberapa kekangan namun Allah telah permudahkan segalanya.




Admin nak berkongsi dengan kalian tentang pengalaman admin menjadi fasilitator untuk fasa ke-3 bersama 4 orang fasilitator yang lain. Sebelum itu, terima kasih kepada semua pihak iaitu penasihat Kelab Fasilitator, Cik Najidah Yahaya, AJK-AJK yang terlibat, fasilitator yang turun padang dan pihak Global Peace Mission Malaysia bagi menjayakan hasrat murni ini.
Pada 14, 15 dan 16 Julai 2016 yang lepas, fasa 3 program tersebut telah berlangsung di Universiti Pendidikan Sultan Idris  dan sekitar Kuala Lumpur. Fasa kali ini lebih tertumpu untuk membuka mata pelajar tentang dunia luar.


1)      Antara pengisian yang pertama iaitu lawatan sekitar Kampus Sultan Abdul Jalil Shah (KSAJS) dan dibawa ke perpustakaan terulung kita iaitu Perpustakaan Tuanku Bainun UPSI yang sarat dengan kemudahan teknologi yang serba canggih. Pelajar-pelajar tersebut kelihatan sangat teruja dengan kemudahan tersebut dengan menggunakan hujung jari sahaja.






2)      Hari kedua, lawatan ke Muzium Negara, Planeterium Negara, Masjid Merah Jambu Putrajaya dan Kolej Darul Hikmah iaitu slot bersama Global Peace Mission Malaysia (GPM).






3)      Hari ketiga, persediaan sebelum mereka pulang ke Kuala Krai dan majlis penutup.



Diharapkan pelajar-pelajar SK Batu Jong dapat meningkatkan prestasi mereka dalam akademik. Dengan program yang telah berlangsung ini, harapanya dapat memberi sumbangan agar mereka bermotivasi untuk mencapai kejayaan dalam diri mereka dari segi akademik mahupun sahsiah. Semoga keputusan UPSR mereka yang bakal tiba tidak lama lagi akan membuahkan hasil yang positif. Amin. Sama-sama kita doakan untuk mereka.
Jumpa lagi di entry yang lain.
‘’ Nantikan kemunculan  KeFB”
‘’Bergerak Seiring Menyahut Cabaran”


Selamat Hari Raya Aidil Adha


Assalamualaikum dan selamat sejahtera.
Mintak maaf sebab entry kali ni lambat sikit di update
Namun masih belum terlambat lagi rasanya untuk kami dari Kelab Fasilitator Bitara untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Adha kepada seluruh umat Islam
Sempena Hari Raya Aidil Adha yang telah disambut pada tanggal 12 Sept 2016 bersamaan dengan
10 Zulhijjah 1437H ini, moleklah kiranya kita mengimbau kembali sejarah munculnya hari yang bermakna bagi umat Islam kini.

Kisah Nabi Ismail (Peristiwa korban yang pertama dalam sejarah Islam)

Sewaktu Nabi Ismail mencapai usia remajanya Nabi Ibrahim a.s. mendapat mimpi bahawa beliau harus menyembelih Ismail puteranya. Dan mimpi seorang nabi adalah salah satu dari cara-cara turunnya wahyu Allah , maka perintah yang diterimanya dalam mimpi itu harus dilaksanakan oleh Nabi Ibrahim. Beliau duduk sejurus termenung memikirkan ujian yang maha berat yang perlu dihadapi. Sebagai seorang ayah yang dikurniai seorang putera yang sejak puluhan tahun diharap-harapkan dan didambakan, seorang putera yang telah mencapai usia di mana jasa-jasanya sudah dapat dimanfaatkan oleh si ayah, seorang putera yang diharapkan menjadi pewarisnya dan penyambung kelangsungan keturunannya, tiba-tiba harus dijadikan korban dan harus diragut nyawa oleh tangan si ayah sendiri.

Namun, sebagai seorang Nabi, pesuruh Allah dan pembawa agama yang seharusnya menjadi contoh dan teladan bagi para pengikutnya dalam bertaat kepada Allah, menjalankan segala perintah-Nya dan menempatkan cintanya kepada Allah di atas cintanya kepada anak, isteri, harta benda dan lain-lain. Beliau harus melaksanakan perintah Allah yang diwahyukan melalui mimpinya, apa pun yang akan terjadi sebagai akibat pelaksanaan perintah itu.
Sungguh amat berat ujian yang dihadapi oleh Nabi Ibrahim, namun sesuai dengan firman Allah yang bermaksud:" Allah lebih mengetahui di mana dan kepada siapa Dia mengamanatkan risalahnya." Nabi Ibrahim tidak membuang masa lagi, berazam {niat} tetap akan menyembelih Nabi Ismail puteranya sebagai korban sesuai dengan perintah Allah yang telah diterimanya.Dan berangkatlah serta merta Nabi Ibrahim menuju ke Makkah untuk menemui dan menyampaikan kepada puteranya apa yang Allah perintahkan.

Nabi Ismail sebagai anak yang soleh yang sangat taat kepada Allah dan bakti kepada orang tuanya, ketika diberitahu oleh ayahnya maksud kedatangannya kali ini tanpa ragu-ragu dan berfikir panjang berkata kepada ayahnya:" Wahai ayahku! Laksanakanlah apa yang telah diperintahkan oleh Allah kepadamu. Engkau akan menemuiku insya-Allah sebagai seorang yang sabar dan patuh kepada perintah. Aku hanya meminta dalam melaksanakan perintah Allah itu , agar ayah mengikatku kuat-kuat supaya aku tidak banyak bergerak sehingga menyusahkan ayah, kedua agar menanggalkan pakaianku supaya tidak terkena darah yang akan menyebabkan berkurangnya pahalaku dan terharunya ibuku bila melihatnya, ketiga tajamkanlah parangmu dan percepatkanlah perlaksanaan penyembelihan agar meringankan penderitaan dan rasa pedihku, keempat dan yang terakhir sampaikanlah salamku kepada ibuku berikanlah kepadanya pakaian ku ini untuk menjadi penghiburnya dalam kesedihan dan tanda mata serta kenang-kenangan baginya dari putera tunggalnya."Kemudian dipeluknyalah Ismail dan dicium pipinya oleh Nabi Ibrahim seraya berkata:" Bahagialah aku mempunyai seorang putera yang taat kepada Allah, bakti kepada orang tua yang dengan ikhlas hati menyerahkan dirinya untuk melaksanakan perintah Allah."

Saat penyembelihan yang mengerikan telah tiba. Diikatlah kedua tangan dan kaki Ismail, dibaringkanlah ia di atas lantai, lalu diambillah parang tajam yang sudah tersedia dan sambil memegang parang di tangannya, kedua mata nabi Ibrahim yang tergenang air berpindah memandang dari wajah puteranya ke parang yang mengilap di tangannya, seakan-akan pada masa itu hati beliau menjadi tempat pertarungan antara perasaan seorang ayah di satu pihak dan kewajiban seorang rasul di satu pihak yang lain. Pada akhirnya dengan memejamkan matanya, parang diletakkan pada leher Nabi Ismail dan penyembelihan di lakukan. Akan tetapi, tanpa disangka-sangka parang yang sudah demikian tajamnya itu ternyata menjadi tumpul dileher Nabi Ismail dan tidak dapat berfungsi sebagaimana mestinya dan sebagaimana diharapkan.

Kejadian tersebut merupakan suatu mukjizat dari Allah yang menegaskan bahawa perintah pergorbanan Ismail itu hanya suatu ujian bagi Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail sampai sejauh mana cinta dan taat mereka kepada Allah. Ternyata keduanya telah lulus dalam ujian yang sangat berat itu. Nabi Ibrahim telah menunjukkan kesetiaan yang tulus dengan pergorbanan puteranya untuk berbakti melaksanakan perintah Allah sedangkan Nabi Ismail tidak sedikit pun ragu atau bimbang dalam memperagakan kebaktiannya kepada Allah dan kepada orang tuanya dengan menyerahkan jiwa raganya untuk dikorbankan, sampai-sampai terjadi seketika merasa bahawa parang itu tidak lut memotong lehernya, berkatalah ia kepada ayahnya:" Wahai ayahku! Rupa-rupanya engkau tidak sampai hati memotong leherku kerana melihat wajahku, cubalah telangkupkan aku dan laksanakanlah tugasmu tanpa melihat wajahku."Akan tetapi parang itu tetap tidak berdaya mengeluarkan setitik darah pun dari daging Ismail walau ia telah ditelangkupkan dan dicuba memotong lehernya dari belakang.

Dalam keadaan bingung dan sedih hati, karena gagal dalam usahanya menyembelih puteranya, datanglah kepada Nabi Ibrahim wahyu Allah dengan firmannya:" Wahai Ibrahim! Engkau telah berhasil melaksanakan mimpimu, demikianlah Kami akan membalas orang-orang yang berbuat kebajikkan ."Kemudian sebagai tebusan ganti nyawa Ismail telah diselamatkan itu, Allah memerintahkan Nabi Ibrahim menyembelih seekor kambing yang telah tersedia di sampingnya dan segera dipotong leher kambing itu oleh beliau dengan parang yang tumpul di leher puteranya Ismail itu. Dan inilah asal permulaan sunnah berkorban yang dilakukan oleh umat Islam pada tiap hari raya Aidiladha di seluruh pelosok dunia.

Begitulah kisah pengobanan dua insan yang mulia disisi Allah S.W.T. Pengorbanan yang telah kita laksanakan tidak akan mungkin mampu menandingi ketaatan dan kecintaan dua orang Nabi yang disanjung tinggi ini. Oleh itu, marilah lafazkan lafaz syukur di atas segala pemberian yang telah diberikan oleh Allah kepada kita iaitu umat Nabi Muhammad s.a.w. Alhamdulillah.