Marhaban Ya Ramadhan |
Assalamualaikum dan Salam
Sejahtera
Alhamdulillah dan bersyukur kita
kepada Allah s.w.t kerana dengan izin-Nya kita telah diberikan peluang dan
kesempatan untuk terus bernafas di bumi hijau Tuhan ini. Diam tak diam Ramadhan
hampir tiba, tak terasa waktu berlalu ibarat air sungai yang mengalir laju. Seperti
yang kita sedia tahu, bulan ini adalah bulan pengampunan dan rahmat serta
dipermudahkan bagi sesiapa yang beramal padanya.
Sabda Rasulullah S.A.W
إِذَا
دَخَلَ شَهْرُ رَمَضَانَ فُتِّحَتْ أَبْوَابُ السَّمَاءِ – وَفِيْ رِوَايَةٍ : أَبْوَابُ
الْجَنَّةِ-وَفِيْ رِوَايَةٍ: أَبْوَابُ الرَّحْمَةِ وَغُلِّقَتْ
أَبْوَابُ جَهَنَّمَ وَسُلْسِلَتْ الشَّيَاطِينُ
Apabila masuk bulan Ramadhan maka
dibukakan pintu langit (dalam satu riwayat dikatakan: pintu syurga dan dalam
riwayat lainnya: pintu-pintu rahmat). Ditutup pintu-pintu Jahanam dan para syaitan
dibelenggu. (HR al-Bukhari dan Muslim).
Selain itu, dijelaskan juga dalam
hadis riwayat Ibnu Majah yang berbunyi:
إِذَا
كَانَتْ أَوَّلُ لَيْلَةٍ مِنْ رَمَضَانَ صُفِّدَتْ الشَّيَاطِينُ وَمَرَدَةُ
الْجِنِّ وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ جَهَنَّمَ
Apabila masuk awal malam dari
bulan Ramadhan maka para syaitan dan jin jahat dibelenggu serta ditutup pintu
neraka Jahanam.
Demikian juga sabda beliau:
مَنْ
قَامَ لَيْلَةَ الْقَدْرِ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ
ذَنْبِهِ وَمَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا
تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ
Siapa yang menghidupkan malam
qadar dalam keadaan iman dan mencari pahala maka Allah akan mengampuni dosanya
yang telah lalu dan siapa yang berpuasa dalam keadaan iman dan mencari pahala
maka Allah akan mengampuni dosanya yang telah lalu. (HR al-Bukhari).
Oleh yang demikian, kita jadikan
bulan Ramadhan ini sebagai salah satu peluang untuk melihat keadaan diri kita, agar
kita dapat memperbaiki yang telah rosak dan mengubati yang sakit.
Jadikan bulan ini sebagai awal
menuju kebaikan untuk masa yang mendatang dan sebagai titik tolak perubahan
menuju ke arah keadaan yang lebih baik dan sempurna. Seandainya setiap orang
merenungi dirinya dan mengamati kehidupannya, tentulah dia akan dapat
mewujudkan muhasabah melalui perilaku dalam dirinya.
Pertanyaan yang wajib disampaikan
kepada diri kita adalah:
“Apakah kita reda dengan keadaan kita
sekarang?”
“Adakah kita sudah berada dalam
kesempurnaan?”
“Adakah kita sudah sedaya upaya
dan berusaha untuk menjadi yang lebih baik dan terbaik di sisi Tuhan yang Maha
Esa?”
Semua ini memerlukan muhasabah
dalam diri. Inilah yang digalakkan dalam syariat islam seperti diungkapkan
khalifah Umar bin al-Khattab dalam pernyataan beliau:
“Muhasabahlah terhadap dirimu
sebelum kamu dihisab dan timbang-timbanglah sebelum kamu ditimbang.”
Demikian juga ungkapan khalifah
Ali bin Abi Talib:
“Seseorang itu mestilah memiliki
masa yang tidak disibukkan dengan kesibukan untuk muhasabah diri untuk melihat
apa yang dilakukannya sama ada mendatangkan kebaikan dan keburukan.”
Sebenarnya muhasabah diri ini
dapat membantu kita untuk mengetahui kesalahan dan titik kelemahan kita dan
seterusnya dapat mendorong kita menjadi umat manusia yang lebih baik.
Sesungguhnya, tidak ada satu
bulan yang dapat menandingi bulan Ramadhan. Ramadhan adalah bulan terbaik untuk
melakukan muhasabah. Bayangkan dalam bulan yang mulia ini kita dilarang untuk makan
dan minum serta syahwat lainnya yang biasa kita lakukan. Hal-hal ini tentunya
dapat menumbuhkan kesedaran dan mendorong untuk sentiasa memperbaiki diri.
Demikian juga ibadah-ibadah yang
ada pada bulan ini, seperti solat malam adalah kesempatan untuk mendekatkan
diri kepada Allah, membaca al-Qur`an yang digalakkan dalam bulan ini juga akan
membantu mewujudkan suasana kondusif untuk muhasabah diri. Perbanyakan berdoa
dan ibadah pada bulan ini kerana kita belum pasti sama ada kita sempat bertemu
dengannya kembali atau tidak. Mungkin saja kita tidak sempat untuk
menghabiskannya.
Marilah kita gunakan peluang keemasan
ini untuk mencapai kejayaan dunia dan akhirat. Semoga Ramadhan pada tahun ini lebih banyak amalan kita lakukan berbanding tahun sebelumnya. InshaAllah.
Jom kita hayati Harapan Ramadhan oleh Man Bai. Lagu favourite admin bila tiba Ramadhan.