Sukarelawan dan Fasilitator

Semangat Sukarelawan
Assalamualaikum dan Salam Bitara !
Bagaimana permulaan semester kita pada minggu ini? Sedar tak sedar sudah dua minggu semester baru berlalu. Pasti semua sudah serabut dengan bebanan tugasan assignment yang pensyarah sudah tetapkan bukan? Hahaha.. tidak mengapa kawan-kawan. Kita ambil semua perkara tersebut sebagai satu perkara yang positif. Jangan menganggap semua perkara tersebut adalah satu bebanan dalam diri kita. Buat sesuatu perkara itu dengan ikhlas. Barulah semua perkara tersebut dalam dilaksanakan dengan baik dan sempurna. Betul tak? Hehe..
Tak apalah, bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian. Insyaallah, segala kesusahan yang kita alami sekarang pada zaman belajar Allah akan balas dengan kejayaan =)


Baiklah. Admin nak kongsi sedikit dengan pembaca setia blog KeFB tentang semangat kesukarelawan. Sambil-sambil buat assignment tu, apa kata luangkan sedikit masa anda untuk membaca coretan ringkas kami.
Sukarelawan sangat sinonim dengan tugasan seorang fasilitator iaitu sebagai pemudah cara bagi sesuatu perkara.  Di Malaysia, terdapat pelbagai pertubuhan sukarelawan yang diasaskan seperti MERCY, KDN, RELA dan sebagainya. Sukarelawan adalah penting untuk membantu orang yang berada di dalam kesusahan tidak kiralah menbantu mangsa banjir, membantu orang kurang upaya dan orang miskin sekalipun, ia tetap dikira sebagai seorang sukarelawan. Menolong seseorang dengan ikhlas tanpa mengharapkan balasan mungkin bagi seseorang itu tidak berbaloi, namun ganjarannya akan Allah balas di sana kelak.

“ Dan tidaklah kami mengutuskan kamu, melainkan untuk menjadi rahmat bagi semesta alam” (al-anbiya 21:107)

Sebenarnya, banyak faedah yang kita akan peroleh jika kita menyertai kegiatan sukarelawan. Antaranya ialah seseorang itu akan dapat memperoleh banyak ilmu pengetahuan. Ilmu pengetahuan yang dimaksudkan ini tidak akan kita peroleh di dalam bilik darjah. Ilmu pengetahuan yang dimaksudkan adalah kemahiran insaniah iaitu lebih dikenali sebagai “softskills” yang hanya akan diperoleh melalui pengalaman dan penglibatan dalam aktiviti kemanusiaan. Antara contoh kemahiran insaniah yang kita akan peroleh adalah kemahiran berkomunikasi, pemikiran kritis dan cara untuk menyelesaikan sesuatu masalah, kemahiran kerja berpasukan, pengurusan maklumat, kemahiran keusahawanan, moral dan etika professional dan semangat kepimpinan.
Selain itu, sesorang yang menyertai aktiviti sukarelawan akan dapat mengasah bakat dan kepimpinan dalam dirinya. Kita tidak boleh hanya menjadi “FOLLOWER” kepada “LEADER” sahaja. Malah kita perlu jadi kedua-duanya. Semangat jati diri perlu ada dalam diri kita lebih-lebih lagi bagi seseorang penuntut di universiti.
Ilmu itu seluas lautan yang kita perlu terokai sendiri dan bukan hanya menadah tangan sahaja. Jadi, kita sendiri perlulah berusaha untuk melengkapkan diri kita dengan perkara yang mendatangkan manfaat kepada diri kita dan seterusnya kepada orang lain.Terapkan dalam diri kita, buat sesuatu perkara perlulah berterusan. Genggam bara api biar sampai jadi arang. Jangan hanya melepaskan batuk di tangga sahaja dan bersikap hangat-hangat tahi ayam. Bersama-samalah kita memperbaiki diri kita kea rah yang lebih baik yang mampu memberikan kesejahteraan kepada orang lain.
“Bergerak Seiring Menyahut Cabaran”

Di Mana Masa Kita

Assalamualaikum dan salam bitara.

Semester baru sudah bermula! Minggu pertama dan kedua pasti mengundang kesibukan untuk yang berusaha menyusun jadual dengan strategik kan. Moga berjaya menyusun jadual bagi mendapatkan masa yang berkualiti. Sempena semester ini eloklah kalau kita mulakan azam yang baru untuk menjadikan hidup kita lebih baik daripada semester yang lepas.

Sebelum kita masuk kepada pengisian kita minggu ini saya ingin mengimbas kembali program yang kami telah laksanakan pada pertengahan Januari yang lepas. Ketika kita semua sedang bercuti 20 orang mahasiswa/i UPSI diiringi Cik Najidah Yahaya telah melangkau ke Aceh Indonesia untuk melakukan khidmat Sukarelawan. Di sana, Skuad sukarelawan UPSI disertai 8 orang mahasiswa Universiti Syiah Kuala. Terbahagi kepada empat kluster iaitu pendidikan, kesihatan, komuniti dan kebudayaan. Skuad sukarelawan telah melaksanakan 20 projek di Kampung Desa Muka Blang. Diharap program Sukarelawan ini dapat menjadi inspirasi kepada mahasiswa lain untuk terus melakukan kebaikan.


Baiklah, dalam entry kali ini saya akan berkongsi tentang kepentingan pengurusan masa. Mungkin ramai di antara kita yang mengetahui tentang kepentingan pengurusan masa ini. Namun masih ada segelintir insan yang hanya memandang ringan terhadap aspek ini. Seperti mana yang diketahui, masa merupakan antara aspek yang amat penting di dalam kehidupan.

 Hal ini dapat dijelaskan dengan lebih jitu berdasarkan kata-kata yang diujarkan oleh As-Syahid Hassan Al-Banna yang jelas mengaitkan masa dengan kehidupan, “Masa adalah sebuah kehidupan. Dan kehidupan itu adalah masa yang dia habiskan bermula pada saat kelahiran sehingga ke saat kematiannya”. Pengurusan masa yang baik dapat memberikan kesan yang positif terhadap kehidupan kita dalam menjalankan kehidupan yang produktif. Pendekatan yang pelbagai dapat diteruskan untuk menjalankan pengurusan masa yang baik. Antaranya ialah dengan melakukan setiap tugasan itu dengan tekun dan bersungguh-sungguh serta membuat jadual harian. Kepentingan menjalankan atau menguruskan masa ini pernah diperkatakan oleh Rasulullah s.a.w di dalam hadisnya iaitu :

Sabda Rasulullah s.a.w, “Sesungguhnya Allah s.w.t menyukai apabila sesorang kamu bekerja dan melakukan pekerjaan itu dengan tekun.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Nabi Muhammad s.a.w menekankan supaya apabila kita ingin melakukan sesuatu, maka hendaklah dia melakukan dengan bersungguh-sungguh.

Perkara ini seharusnya kita ambil sebagai suatu pendekatan yang terbaik sebagai langkah atau lonjakan untuk menjadi seorang insan yang unggul dari pelbagai aspek terutamanya dari segi pengurusan masa.
Baiklah, sekian sahaja untuk entry kali ini. Assalamualaikum.
#bergerakseiringmenyahutcabaran
#familyungu

#bepostive

Clean Our Heart

Assalamualaikum dan salam bitara,





                                     


Pada 5 November dan 13 November 2016 yang lalu, KeFB telah menganjurkan program khidmat masyarakat di Kampu Baru Universiti Sultan Idris. Program berkenaan yang dikenali sebagai 'Clean Our Heart' merupakan satu program yang bertujuan untuk memberi pendedahan dan menerapkan sentimen mementingkan kebersihan diri sendiri dan alam sekitar. Pendekatan penjagaan kebersihan ini perlu untuk dititikberatkan dalam diri setiap individu berikutan ianya adalah aspek yang amat penting di dalam kehidupan. Bahkan di dalam hadis Rasulullah juga turut memperihalkan mengenai aspek kebersihan "Kebersihan adalah sebahagian daripada iman". Hal ini menunjukkan bahawa pentingnya kita sebagai insan yang menetap di bumi yang fana ini untuk sentiasa menjaga kebersihan untuk kepentingan semua pihak. 

Perkara ini turut menjadi ciri-ciri penting untuk menjadi seorang fasilitator yang cemerlang dari semua aspek. Hal ini demikian kerana, kebersihan adalah salah satu aspek penting untuk melahirkan individu yang bersahsiah unggul. Fasilitator yang unggul seharusnya mementingkan kebersihan, kekemasan dan kecantikan dalam usaha mendidik diri dan orang lain. Oleh itu, KeFB  terpanggil untuk menganjurkan satu program kemasyarakatan iaitu 'Clean Our Heart' yang bertujuan untuk mendedahkan kepentingan menjaga kebersihan dan peranan kita dalam mengekalkan aspek kebersihan di sekeliling kita. Program ini juga bertujuan untuk merapatkan ukhwah di antara ahli KeFB.  

Berikutan dengan itu, wajarlah dikatakan bahawa pelaksanaan program 'Clean Our Heart' merupakan titik mula bagi seorang fasilitator untuk menjadi seorang insan yang lebih baik dan mampu  untuk menjadi pemudah cara yang bersahsiah tinggi.  

Hari pertama (5 November)








Hari kedua (13 November)












"Bergerak Seiring Menyahut Cabaran"









Swa Diri

Assalamualaikum dan salam bitara. satu lagi program yang telah dilaksanakan oleh Kelab Fasilitator (KeFB) Pada 16 oktober 2016 iaitu hari Ahad, Kelab Fasilitator Bitara (KeFB) telah menganjurkan Program Swa Diri yang bertujuan membina jati diri seorang fasilitator supaya dapat memberi sumbangan terhadap kelab, menerapkan sikap positif dalam diri setiap peserta supaya menjalankan tugas dengan lebih efektif dan mengeratkan hubungan silaturahim antara ahli kelab. Pengisian program ialah Slot Pengenalan berkenaan KeFB oleh Presiden KeFB dan diteruskan dengan pengisian Slot Swa Diri oleh Penasihat KeFB, Cik Najidah Binti Yahaya. Beliau telah berkongsi mengenai tujuan pengambilan ahli-ahli baru serta mengklasifikasikan ciri-ciri fasilitator yang terbaik. Pelbagai input positif serta kritikan yang membina telah diterima oleh setiap ahli sepanjang aktiviti tersebut dijalankan. Seterusnya, aktiviti bersama MT Exco kelab pula dijalankan dengan sesi perkenalan diri yang melibatkan semua ahli yang hadir. Program berkenaan diakhiri dengan sesi fotografi pada jam 12.30 tengah hari. Diharapkan semua ahli yang terlibat secara langsung atau tidak langsung akan bersama-sama terus bergiat aktif dalam kelab ini serta mempereratkan ukhwah yang telah terjalin ini sehingga ke akhirnya.


Sesi pendaftaran bermula pada pukul 7.15 pagi

Slot ice breaking yang dikendalikan oleh saudari Nor Dia.



Slot yang dikendalikan oleh Penasihat kelab Cik Najidah Binti Yahaya.


aktiviti MT Exco bersama ahli..

Diharap input yang diperoleh pada hari tersebut akan membantu ahli mempersiapkan diri untuk menjadi seorang fasilitator yang bitara. manakala ukhwah yang dibina hari ini diharap akan terus menjadi pembina kepada hubungan yang erat pada masa akan datang 
# bergerak seiring menyahut cabaran
#keluarga_ungu



WE ARE ONE TEAM

Assalamualaikum dan salam Bitara. Pada hari Ahad, 9 Oktober 2016 yang lalu, Kelab Fasilitator Bitara UPSI (KeFB) telah berjaya melaksanakan Program We Are One Team yang disertai oleh MT dan Exco KeFB. Program ini telah dijalankan di Skytrex,Taman Botani Negara Shah Alam,Selangor. Alhamdulillah, semua kepimpinan tertinggi dalam KeFB siding 2016/2017 menyertai program ini dengan jayanya. Tujuan program ini adalah: 1) melatih pimpinan KeFB yang mampu harungi halangan dan cabaran pada masa akan datang 2) menguji ketahanan fizikal pimpinan KeFB sebagai langkah awal memikul tanggungjawab dan amanah yang telah diberikan. 3) memupuk semangat kerja berpasukan dan menguatkan jati diri dalam kalangan MT & Exco KeFB.



 Program ini berlangsung selama hampir 3 jam dan halangan yang perlu dilalui oleh peserta ialah:


 1.Ladder Up


2. Flying fox 
3. Sloppy Net Bridge, 
4. Fisherman Net 
5. Sloopy Net Bridge 
6. Cable Walk 
7. Monkey Bar 
8. Platform Jump 
9. Deep Bucket U Rope 
10. Floating Zig-Zag Pipe 

11. Sky Jet Ski 
12. Deep Bucket U Rope 
13. Small Bucket U Rope Ladder Up 
14. Cable Walk 
15. Three Cable Walk 
16. Hanging Pipe 
17. Mega Bridge 
18. Ladder Down 
19. Skip Pipe 
20. Sky Crawl 
21. Fisherman Net. 

 Terlalu banyak halangan yang kami lalui semasa di Skytrex tersebut. Kami melakukan aktiviti pada tahap yang paling mencabar iaitu “Extreme Adventure”. Namun, semua halangan telah berjaya kami lalui. Semangat kerjasama dalam pasukan terserlah di dalam program ini di mana kami semua saling membantu antara satu sama lain. Jika ada ahli antara kami yang patah semangat, kami sentiasa akan memberi dorongan dan semangat agar mereka tidak berputus asa.


"Walaupun halangan yang ada di Skytrex ini begitu sudah cukup mencabar, namun percayalah,.. di luar sana masih ada cabaran yang lebih besar yang akan kita tempuhi cuma kita tidak tahu sama ada bila ataupun dimana."

 Kami ke sini bukan hanya ingin bersuka ria atau meluangkan masa hujung minggu dengan beriadah, tetapi ingin menguji ketahanan fizikal kami sebagai langkah awal untuk memikul segala tanggungjawab dan amanah yang telah diberikan. Diharapkan dengan penganjuran program ini mampu memantapkan lagi kredibiliti pimpinan KeFB kini sebagai contoh tauladan kepada rakan exco dan ahli KeFB yang lain. Moga dengan penganjuran program ini mampu menyuntik semangat semua untuk terus meledak dalam kepimpinan organisasi.
 “BERGERAK SEIRING MENYAHUT CABARAN”. 

 

Kem Pemantapan Organisasi MT Exco Kelab Fasilitator Bitara

Assalamualaikum dan salam Bitara. Pada 2 dan 3 Oktober 2016, MT Exco Kelab Fasilitator Bitara (KeFB) telah mengadakan Kem Pemantapan Organisasi di Sungai Inki, Kalumpang. Kem yang berlangsung selama 2 hari 1 malam tersebut bertujuan sebagai pendedahan awal pemantapan diri bagi majlis tertinggi dan exco. Antara pengisian yang telah dijalankan ialah slot mengenal pasti kekuatan, kelemahan dan potensi diri sebagai pelengkap kepada kekuatan dan kelemahan orang lain. Turut diadakan slot 'Open Views' antara satu sama lain bagi menggalakkan budaya terbuka menerima pandangan orang lain selain dari menggalakkan perkongsian pengalaman diri masing-masing. Di akhir slot, telah diadakan perkongsian oleh 3 orang mantan pimpinan KeFB yang berkongsi berkenaan budaya kerja dan matlamat KeFB serta perkongsian pengalaman peribadi sepanjang berada di dalam KeFB.
Tiba sahaja kami di tapak perkhemahan, kami bersama-sama mendirikan khemah dan memastikan tapak perkhemahan selamat dan selesa.
Setelah selesai pekerjaan, kami menjamu selera dengan makanan yang dibawa dan ditambah dengan bekalan yang dibawa oleh penasihat. Alhamdulillah kenyang kami petang itu. Kata cik Najidah kami perlu bersedia dengan slot pada malam ini sebab itu kami perlu makan dahulu. Terima kasih cik atas bekalan yang diberikan.setelah selesai makan petang kami bersiap-siap untuk menunaikan solat maghrib dan solat isyak.
Slot pada malam ini bermula dengan mengenali kekuatan, kelemahan dan potensi diri sendiri. Cik Najidah telah melaksanakan ujian pengiraan tarikh lahir dan ujian warna untuk kami mendalami tiga aspek penting dalam diri sendiri dan sesama kami. Banyak ilmu baru yang kami perolehi daripada semua ujian ini. Seterusnya, Slot 'open view' antara satu sama lain bagi menggalakkan budaya terbuka menerima pandangan orang lain selain dari menggalakkan perkongsian pengalaman diri masing-masing. Hal ini telah membuka minda kami untuk melihat keistimewaan dan kekurangan individu dalam kalangan kami. Slot yang berakhir pada malam itu tidak terhenti pada malam itu. keesokannya ada sesuatu yang menanti kami.Pada paginya kami diwajibkan untuk turun ke dalam air selama satu jam. Terasa nikmatnya kekuasaan Tuhan yang menjadikan langit dan bumi. Air yang sejuk membuatkan tubuh mengigil tapi memberi kesegaran kepada tubuh dan minda.
Di akhir slot, telah diadakan perkongsian oleh 3 orang mantan pimpinan KeFB yang berkongsi berkenaan budaya kerja dan matlamat KeFB serta perkongsian pengalaman peribadi sepanjang berada di dalam KeFB.Moga dengan penganjuran kem ini mampu menyuntik semangat semua untuk terus meledak dalam kepimpinan organisasi.

Pengalaman Program Peningkatan Akademik UPSR Fasa-3 SKBJ

Assalamualaikum dan Salam Bitara J
Keluarga Ungu kembali lagi dengan Program Peningkatan Akademik UPSR SK Bt. Jong, Kuala Krai yang telah berlangsung selama 4 fasa.

Alhamdulillah, program tersebut telah berjalan dengan lancar walaupun terdapat beberapa kekangan namun Allah telah permudahkan segalanya.




Admin nak berkongsi dengan kalian tentang pengalaman admin menjadi fasilitator untuk fasa ke-3 bersama 4 orang fasilitator yang lain. Sebelum itu, terima kasih kepada semua pihak iaitu penasihat Kelab Fasilitator, Cik Najidah Yahaya, AJK-AJK yang terlibat, fasilitator yang turun padang dan pihak Global Peace Mission Malaysia bagi menjayakan hasrat murni ini.
Pada 14, 15 dan 16 Julai 2016 yang lepas, fasa 3 program tersebut telah berlangsung di Universiti Pendidikan Sultan Idris  dan sekitar Kuala Lumpur. Fasa kali ini lebih tertumpu untuk membuka mata pelajar tentang dunia luar.


1)      Antara pengisian yang pertama iaitu lawatan sekitar Kampus Sultan Abdul Jalil Shah (KSAJS) dan dibawa ke perpustakaan terulung kita iaitu Perpustakaan Tuanku Bainun UPSI yang sarat dengan kemudahan teknologi yang serba canggih. Pelajar-pelajar tersebut kelihatan sangat teruja dengan kemudahan tersebut dengan menggunakan hujung jari sahaja.






2)      Hari kedua, lawatan ke Muzium Negara, Planeterium Negara, Masjid Merah Jambu Putrajaya dan Kolej Darul Hikmah iaitu slot bersama Global Peace Mission Malaysia (GPM).






3)      Hari ketiga, persediaan sebelum mereka pulang ke Kuala Krai dan majlis penutup.



Diharapkan pelajar-pelajar SK Batu Jong dapat meningkatkan prestasi mereka dalam akademik. Dengan program yang telah berlangsung ini, harapanya dapat memberi sumbangan agar mereka bermotivasi untuk mencapai kejayaan dalam diri mereka dari segi akademik mahupun sahsiah. Semoga keputusan UPSR mereka yang bakal tiba tidak lama lagi akan membuahkan hasil yang positif. Amin. Sama-sama kita doakan untuk mereka.
Jumpa lagi di entry yang lain.
‘’ Nantikan kemunculan  KeFB”
‘’Bergerak Seiring Menyahut Cabaran”